CIK Manggis tidak sangka penghijrahannya dapat perhatian jauh lebih positif.
CIK Manggis tidak sangka penghijrahannya dapat perhatian jauh lebih positif.
Sudirman Mohd Tahir

Penghijrahan penyanyi dan pelakon, Cik Manggis untuk tampil berhijab pada Julai lalu memberi banyak nikmat dalam dirinya.

Malah, sepanjang pembabitan dalam bidang seni bersama kumpulan De Fam, Cik Manggis, 31, atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin tidak pernah menjangka sambutan dan perhatian diberikan terhadap dirinya jauh lebih positif.

Paling tidak dapat diduga apabila dia mendapat tawaran menjadi duta sebuah produk mandian selama setahun.

Menurut Cik Manggis, dia bersyukur apabila Allah memakbulkan doanya yang ingin menjadi duta sejak lima tahun menceburi dunia seni.

"Sebenarnya kalau tanya untuk menjadi duta ini, saya memang rasa nak menangis. Selepas berhijrah, saya ada berdoa agar diberi peluang menjadi duta sebab sepanjang lima tahun dalam industri tak pernah dapat tawaran dan peluang sebegini.

"Dalam doa saya itu, saya letak keyakinan yang semua rezeki milik Allah. Tak sampai seminggu saya dapat tawaran untuk jadi duta. Bukan satu, tapi empat tawaran dalam masa sama.

"Saya beritahu suami yang doa saya dah termakbul. Untuk tawaran itu, saya pilih yang mana sesuai dengan imej dan saya terpikat untuk jadi duta produk berkenaan," katanya.

Pada masa sama, Cik Manggis berkata, tidak semua pihak yang boleh menerima penghijrahannya itu apabila terdapat beberapa tawaran awal yang diberikan terpaksa ditarik semula.

Namun, Cik Manggus reda dan tidak pernah berasa bimbang kehilangan tawaran itu kerana percaya rezeki lain daripada Allah.

"Diakui ada tawaran datang tapi ditarik semula sebab saya dah bertudung. Tapi satu hilang, ada banyak pula yang datang. Jadi, bagi saya tak pernah risau pun kalau berhijrah atau tukar imej.

YAKIN yang semua rezeki milik Allah.
YAKIN yang semua rezeki milik Allah.

"Rezeki semua datang daripada Allah. Mungkin rezeki yang Allah berikan sebab saya betul-betul yakin dengan-Nya. Sejujurnya, penghijrahan ini membuatkan saya lebih tenang dan menjaga diri.

"Ada masalah atau tawaran ditarik semula pun, saya rasa tenang saja dan reda bukan rezeki. Saya pun tengah perbaiki diri menjadi lebih yakin dan reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Menurut Cik Manggis, apa yang lebih penting adalah penghijrahan itu membuatkan suami tercinta, Syazmin Firdaus Aminuddin berasa lebih gembira.

"Apa yang penting, suami saya orang paling gembira. Sedikit sebanyak memang berubah kehidupan saya tapi tetap menjadi diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 6:36 AM