Bapa mentua Noryn Aziz meninggal dunia. FOTO IG Noryn.
Bapa mentua Noryn Aziz meninggal dunia. FOTO IG Noryn.
Najiy Jefri

 

 

Kuala Lumpur: Selepas tiga hari bergelar isteri, penyanyi Noryn Aziz berkongsi khabar duka apabila bapa mentuanya, Datuk Shaik Sulaiman Ismail meninggal dunia, semalam.  

Menurut Noryn, biarpun baru mengenali arwah namun hubungan mereka boleh dianggap rapat.

"Al-Fatihah buat abah mentua tersayang. Pada Jumaat yang berkah ini (semalam) abah meninggalkan kami. Hari yang mulia dan segalanya dipermudahkan Allah SWT. 

"Walaupun Noryn baru kenal abah, kami sempat mesra dan saling menyayangi. Perkara terindah yang diungkapkan kepada saya adalah terima kasih atas cinta yang diberikan dan bilakah hari bahagia anda?," tulisnya dalam satu entri di Instagram.

Pada masa sama, Noryn juga memohon sesiapa yang mengenali Allahyarham untuk mendoakan serta memaafkan segala kesilapannya.

"Saya hanya mendengar perkara yang baik mengenainya. Semoga Allah merahmati dan memberkati abah dan sentiasa pelihara arwah abah dengan sebaiknya juga diletakkan dalam kalangan orang yang beriman," tulisnya. 

Terdahulu pada 14 Oktober 2020, Noryn selamat mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Shaik Rizal Shaik Sulaiman . 

Noryn sebelum ini pernah bernikah dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan berpisah pada 2019.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Bariq Umar Shah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 1:17 PM