BELUM waktunya Shah Khan untuk fikir jodoh ketika sedang gigih bina kerjaya. FOTO Asyraf Hamzah
BELUM waktunya Shah Khan untuk fikir jodoh ketika sedang gigih bina kerjaya. FOTO Asyraf Hamzah
Norhayati Nordin


PERNAH mewakili negara dalam sukan tinju di temasya Sukan Sea selama beberapa tahun sejak 2014, kini Shah Khan, 27, nekad menceburi kerjaya seni.

Memilih bidang lakonan kerana minat yang mendalam, sejak setahun lalu pemuda dari Johor Bahru ini sudah mendapat peluang membintangi beberapa drama.

Bersua dengannya baru-baru ini, tidak dinafikan Shah Khan memiliki pakej lengkap. Dia bukan hanya berwajah kacak, tetapi juga memiliki tubuh sasa.

Mengulas status dirinya, Shah Khan atau nama sebenar Muhamad Alieshah Mohd Kamaruzaman mengakui dia masih solo dan belum ada kekasih hati.

Ditanya apakah dia cuba berahsia perihal peribadi, katanya, dia memang belum berpunya. Ini kerana apa yang lebih diutamakannya ialah memantapkan kewangan dan memiliki aset sendiri seperti rumah.

Berbicara apakah dia bersedia menjalin cinta dengan wanita berusia, Shah Khan berkata, dia kurang selesa berhubungan dengan wanita yang agak matang dan terlalu berdikari.

"Setiap lelaki ada pilihan wanita idaman masing-masing dan bukanlah satu kesalahan apabila jatuh cinta dengan wanita berusia. Ditambah lagi, perasaan cinta itu tak boleh diramal.

"Apa-apa pun, untuk saya memang diakui kurang selesa bercinta dengan wanita berusia dan matang. Saya berdoa ditemukan jodoh dengan wanita seusia atau lebih muda. Namun, pada situasi sekarang apabila saya masih perlu berusaha gigih membina kerjaya, belum terfikir lagi nak bercinta dan jauh sekali mahu berumah tangga. Kewangan saya belum mantap," katanya.

Jelas Shah Khan, sebagai lelaki yang akan menjadi ketua keluarga apabila sampai masanya, kewangan kukuh perlu ada. Begitu juga aset peribadi seperti rumah untuk keluarga berlindung.

"Sebelum nak fikir kahwin, saya sendiri kena memperbaiki kewangan peribadi. Memang orang kata, berumah tangga dan ada keluarga itu pasti membawa rezeki, namun tanggungjawab seorang lelaki sangat besar.

"Saya nakkan isteri dan anak mendapat kehidupan terjamin. Buat masa sekarang, saya sangat bersyukur boleh menyara diri sendiri tanpa bergantung sepenuhnya lagi dengan ibu bapa. Malah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu pun, saya sempat balik ke Johor dan membantu keluarga berniaga pisang goreng cheese di gerai di tepi jalan.

"Bagi saya, kena rajin bekerja cari rezeki kerana ia takkan datang bergolek walaupun setiap hari berdoa. Dalam kehidupan ini, kena rajin, yakin dan berani bertindak," katanya.

Menurut Shah Khan, dia tak berasa malu langsung berniaga pisang goreng cheese di gerai tepi jalan. Tiada sebab untuk malu ketika berusaha mencari rezeki dan sumber pendapatan.

Bagi kerjaya lakonannya, hingga kini Shah Khan sudah membintangi drama Juliet dan Tolong Aku Dr Cinta. Terbaharu, dia dipilih berlakon drama Tak Sempurna Mencintaiku untuk slot Akasia TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 10:35 AM