FEBY FEBIOLA
FEBY FEBIOLA
Agensi

Jakarta: Pelakon, penyanyi dan model popular Indonesia dikenali Feby Febiola, 42, mengaku dia tidak pernah terfikir dirinya akan berhadapan menghidapi penyakit barah.

Berita berkenaan penyakit Feby itu mula heboh diperkatakan apabila dia memuat naik fotonya berambut pendek di Instagram miliknya sekitar beberapa bulan lalu.

Menerusi saluran berita Liputan 6 melaporkan, melalui perkingsian di Insta Story Feby Febiola baru-baru ini, dia akhirnya mengaku mengidap barah ovari tahap pertama dan kini sedang menjalani kemoterapi.

Bagaimanapun dalam situasi begini, pelakon filem Kapan Kawin? dan I am Hope ini terus berdepan kecaman daripada warganet yang tergamak mengaitkannya penyakit dihadapi itu adalah karma kerana mengganggu orang lain.

Ia berikutan, perkahwinan Feby dengan Franky Sihombing juga menerima cemuhan ramai.

Namun, Feby tetap positif dengan menyatakan ujian penyakit dihidapinya itu bukanlah hukuman Tuhan, tetapi sebaliknya sebagai pengajaran.

"Saya dapat merasakannya daripada pengalaman dilalui selama beberapa bulan kebelakangan ini. Jadi, apa yang terjadi di mata saya ini, mungkin di mata dunia, menakutkan.

"Di mata dunia juga, ya, mungkin ini adalah hukuman. Tapi, saya tidak merasakan begitu. Saya berasa pada saat-saat inilah Tuhan mengajar," katanya menerusi video bertajuk Cara Franky Sihombing & Feby Febiola Menghadapi Rasa Malu yang disiarkan di saluran YouTube Daniel Mananta Network.

Penyanyi lagu Mengertikah ini berkata, jika dia tidak mengalami sakit barah itu pada waktu seiring pandemik Covid-19 ketika ini, dia mungkin tidak akan fokus memperbaiki dirinya.

"Awalnya, saya seram juga selepas mendengar diri diserang sakit barah. Saya masih ingat ketika doktor datang ke bilik, dan memberitahu ada sel barah di dalam tubuh badan saya.

"Tapi, ketika itu doktor masih belum tahu tahap berapa dan keputusannya hanya dapat diketahui dalam masa seminggu," katanya mengenang saat itu.

Apapun, peristiwa yang berlaku membuatkan Feby kini mendekatkan diri dengan Tuhan. Katanya, airmata yang mengalir bukanlah tangisan kesedihan tapi simbol kelegaan sekali gus mengharukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 3:43 PM