UMBRELLA akur walau terpaksa tunda sidang media dan Showcase 25 Tahun Umbrella.
UMBRELLA akur walau terpaksa tunda sidang media dan Showcase 25 Tahun Umbrella.
Ridzuan Abdul Rahman

Sejak tampil dengan single terbaru berjudul Hilang, kerjaya seni kumpulan Umbrella kembali bersinar dan rancak.

Malah muzik video single ini meraih lebih 300,000 tontonan dalam masa sebulan sekali gus menggambarkan penerimaan peminat dengan kemunculan semula Umbrella.

Bagaimanapun, kumpulan yang popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka itu tetap berdepan cabaran tersendiri apabila kesibukan mempromosi single terbaru diragut gelombang kedua pandemik Covid-19 sehingga melumpuhkan banyak perancangan yang sudah diatur.

Pengarah urusan Umbrella Music, Datuk Rizal Shah berkata, Umbrella sepatutnya mengadakan sidang media bagi mengumumkan mengenai Showcase 25 Tahun Umbrella yang bakal berlangsung pada Disember nanti.

Namun, sidang media dan 'showcase' itu terpaksa dibatalkan ekoran peningkatan mendadak kes positif Covid-19 ketika ini.

"Keputusan ini amat berat bagi pihak pengurusan dan Umbrella memandangkan banyak persiapan sudah dibuat demi menaikkan semula populariti dan kerjaya seni mereka," katanya.

Pemain dram, Saiful yang bertanggungjawab menyatukan semua anggota asal Umbrella berkata, biarpun sedih dia menerima hakikat dengan apa yang terjadi.

"Nak diikutkan ia adalah agenda terbesar sempena sambutan

ulang tahun ke-25 penubuhan Umbrella. Bagaimanapun pembatalan ini adalah langkah tepat dan terbaik demi keselamatan semua terutama peminat setia kami," katanya.

Selain Saiful, pemain gitar, Hafiz turut menyatakan kebimbangannya jika terdapat kluster baharu yang wujud dalam kalangan peminat-peminat yang hadir menyaksikan persembahan mereka sekiranya diteruskan.

Penyanyi, Zarul pula menggunakan sepenuhnya tempoh 'berehat' ini untuk mereka berlatih bagi memperbaiki mutu persembahan di masa hadapan.

Sementara itu pemain bass, Rizal mengharapkan keadaan ekonomi akan kembali pulih sekali gus membuka peluang untuk mereka beraksi dalam mana-mana persembahan.

Walaupun mengumumkan pembatalan 'Showcase 25 Tahun Umbrella', Rizal Shah turut berkongsi berita baik buat peminat-peminat Umbrella dan kumpulan-kumpulan muzik era 90-an apabila pihak Umbrella Music turut merancang mengadakan konsert Umbrella & Friends tahun depan.

Menurutnya, persiapan untuk konsert terbabit masih lagi di peringkat perbincangan dan Umbrella Music bakal membuat pengumuman rasmi mengenainya pada awal tahun depan.

Perkembangan terkini mengenai Umbrella boleh didapati di laman sosial menerusi Facebook atau Instagram kumpulan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 6:48 AM