AYU akan memperbaiki kelemahannya dalam konsert minggu ketiga GV7, Ahad ini.
AYU akan memperbaiki kelemahannya dalam konsert minggu ketiga GV7, Ahad ini.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Gara-gara ditegur nyaris 'Scooby-Doo' oleh juri tetap Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Datuk Ramli MS, Ayu Damit kini mendapat jolokan #scoobydoo.

Ayu berkata, dia menerima teguran itu secara terbuka dan mengakui kesilapan dilakukan ketika melontar nada tinggi yang tak sampai ketika menyanyikan lagu Ke Hujung Dunia, dendangan asal Siti Sarah pada konsert minggu kedua GV7, Ahad lalu.

"Saya ada tergelincir di bahagian nada tinggi ketika menyanyikan lagu itu. Jadi, juri tegur saya supaya dapat memperbaikinya untuk persembahan di minggu akan datang. Saya terima teguran itu dan akan lebih berhati hati dalam pengawalan nada tinggi lagu untuk persembahan seterusnya nanti. Saya akan perbaiki kelemahan itu," katanya.

Ditanya mengenai jolokan #scoobydoo itu, Ayu akui, dia sedar sekarang pun ramai yang sudah berkongsi #scoobydoo berkenaan, namun dia tak kecil hati.

"Saya tak kisah sangat pun apa orang nak cakap. Bagi saya, lama-lama  nanti akan senyap jugak. Buat masa sekarang, biarlah nak cakap apa pun termasuk #scoobydoo. Apa yang lebih mencabar untuk saya adalah persaingan dengan penyanyi lain yang kesemuanya ada kelebihan dan kekuatan masing-masing. Saya kena lebih fokus pada cabaran akan dihadapi nanti," katanya.

Menurut juara One In A Million (OIAM) musim pertama yang pernah popular dengan lagu Hanya Di Mercu itu, kini dia perlu lebih bersedia dengan segala cabaran genre lagu untuk bertahan pada saingan minggu seterusnya.

Sehubungan itu, untuk konsert minggu ketiga GV7 pada Ahad ini, Ayu akan menyanyikan lagu Senyuman Ragamu nyanyian asal duet Gerhana Ska Cinta bersama Radhi OAG.

Selain Ayu, perserta lain yang bertanding dalam GV7 ialah Muss, Linda Nanuwil, Cliff Umar, Ashira, Oja, Nomad, Aju, Noraniza Idris, kumpulan Eva, Rozita Izlyn, Yantzen dan Indigo.

GV7 yang turut menampilkan penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim sebagai juri tetap, dihoskan gandingan pengcara Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 11:48 AM