LAPORAN yang dibuat Chacha Maembong.
LAPORAN yang dibuat Chacha Maembong.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon, Chacha Maembong membuat laporan di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan ekoran dakwaan mengaitkan dirinya terbabit dalam sindiket pelacuran kelas atasan yang dibayar antara RM20,000 sehingga RM40,000 untuk satu malam.

Laporan yang dibuat kelmarin itu adalah atas nasihat peguam sekali gus mahu menghentikan segala fitnah yang dilemparkan.

"Laporan polis dibuat nasihat peguam saya. Tujuan laporan ini adalah untuk menghenti dan menafikan segala fitnah yang berleluasa mengenai diri saya berkenaan isu Macau Scam dan juga tuduhan aktiviti pelacuran. Saya juga akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis jika dipanggil untuk memberikan kerjasama.

"Saya juga akan mengambil tindakan kepada individu yang sudah memfitnah dan menyebarkan tuduhan itu. Tindakan susulan daripada pihak guaman akan dijalankan. Laporan kes ini kini dalam siasatan," katanya.

Terdahulu dalam laporan Harian Metro, Chacha yang juga adik kepada pelakon Emma Maembong menafikan terbabit dalam aktiviti tidak bermoral itu.

Menerusi kenyataan sama, Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail berkata, tuduhan yang dilemparkan itu adalah fitnah yang sengaja mahu menjejaskan kerjaya seni dan perniagaan dibinanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 8:14 PM