Pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin.
Pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) disaran menarik balik larangan terhadap pihak pengkarya dari memaparkan cerita kakitangan kerajaan atau badan berkuasa menerima rasuah.

Pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin dalam hantaran di Instagram berkata, alasan diberikan pihak LPF berkenaan perkara itu adalah tidak wajar.

"Saya menyeru kepada LPF Malaysia agar menarik balik larangan pihak pengkarya dari memaparkan cerita kakitangan kerajaan mahupun badan berkuasa dari terbabit dalam budaya rasuah sebagai salah satu tema dalam karya kami. 

"Terus terang cakap sampai sekarang saya tak boleh terima antara alasan yang diberikan ke atas larangan ini ialah demi menjaga imej kakitangan kerajaan dari dipandang serong.

"Percayalah, isu rasuah yang kami cuba paparkan dalam karya bukanlah berniat jahat seperti yang disangka selama ini. Paparan cerita seperti ini tidak semestinya akan membawa imej negatif pada kakitangan kerajaan malah saya percaya menerusi hiburan drama dan filem sedikit sebanyak golongan karyawan mampu menyedarkan masyarakat akan betapa 'nazak' nya budaya rasuah ini," katanya.

Shahrulezad yang juga pengarah drama Nur berkata, pengkarya juga perlu diberi ruang untuk bersama-sama membantu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras aktiviti tidak bermoral ini.

"Sampai bila kita nak harapkan SPRM saja dalam membasmi rasuah? Isteri, anak-anak pemakan rasuah perlu diberi kesedaran sama supaya membantu mencegah budaya yang membawa kecelakaan ini. 

"Mereka perlu merasa curiga dengan sumber yang masuk ke dalam keluarga mereka dari mana. Duit atau nikmat yang diperolehi dari celah mana. Sekurang-kurangnya 'sang pemakan rasuah' akan berasa tak selesa bila ahli dalam keluarga mereka mula curiga akan sesuatu. Pencegahan rasuah ini sepatutnya bermula dari dalam keluarga masing masing.

"Kalau drama yang membongkar tema penunggang agama boleh ditayangkan kenapa drama yang membongkar kebobrokan kakitangan kerajaan atau pun badan berkuasa dihalang untuk tayangan? 

"Sudah sampai masanya drama kita yang mempunyai jutaan pengikutnya dibenarkan sama membantu kerajaan dalam membanteras budaya rasuah ini. Tidaklah tema suami curang, isteri derhaka dan yang lain diulangsiar berkali-kali," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 3:55 PM