Judi Dench
Judi Dench
Agensi

London: Aktres Judi Dench, 85, mendedahkan pernah menyelamatkan ikan emas peliharaannya dengan menggunakan bantuan pernafasan mulut ke mulut atau 'cardiopulmonary resuscitation' (CPR) beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Dench berkata, haiwan peliharaannya itu mati baru-baru ini selain menyifatkan kagum dengan dirinya yang memiliki bakat itu selain berlakon.

"Ikan emas saya pernah mati sekali tapi saya berjaya hidupkannya kembali. Sewaktu itu, ia masih kecil sebelum membesar sepanjang enam inci," katanya sewaktu menjayakan sebuah sesi podcast bersama Chris Evans.

Dench juga mengakui sangat suka dengan perhatian yang diberikan kepadanya sepanjang pembabitannya dalam filem sekuel James Bond.

"Sebagai M, saya cuma lakonkannya sebagaimana dalam skrip dan sukakan perhatian terhadapnya. Dia sesuka hati mengarah Bond selain tiada wanita memegang watak itu sebelum ini," katanya.

Namun begitu, Dench akui cemburu dengan pelakon lain yang melawat pelbagai tempat sepanjang penggambaran. Manakala, babak membabitkan dirinya dalam pejabat sahaja.

"Saya mengadu kepada Barbara Broccoli (penerbit) dan katakan semua pelakon lain pergi ke tempat ternama manakala saya terperuk di pejabat. Cuma sekali sahaja saya dapat menyertai mereka sewaktu di Innsbruck.

"Mereka semua meminta saya supaya tidak mengadu domba disebabkan hal itu. Apapun, saya suka dengan situasi watak saya itu. Saya cukup mabuk dengan kuasa," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 11:43 AM