Adam Corrie Lee Abdullah
Adam Corrie Lee Abdullah
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 52, mendedahkan jarang membuka media sosial berikutan takut dengan ragam serta cara warganet melemparkan komen.

Adam berkata, dia juga takut sekiranya gagal mengawal emosi jika terbaca kenyataan yang menyakitkan hati dan mampu menggugat iman. 

"Saya jarang buka media sosial sejak akhir-akhir ini. Takut baca cara orang sekarang ini berkomunikasi, memberi pandangan dan sebagainya.

"Risau bila baca, kita teremosi lalu mengeluarkan kata-kata yang tak elok ataupun terdetik di hati berkata bukan-bukan. Sia-sia dapat dosa tanpa kita jangka dan yang boleh dielakkan.

"Iman kita ini bukan sentiasa di atas. Sentiasa berbolak-balik," katanya.

Pelakon filem KL Gangster itu juga risau sesuatu kenyataan dikeluarkan mampu mengaibkan sesiapa disebabkan berasakan pendapat diri sendiri saja yang betul.

"Risau juga apabila kita ingat nak nasihat atau ingatkan orang tapi adab kita salah kerana memalukan atau jatuhkan air muka orang lain.

"Apa yang dalam fikiran dan pandangan kita sahaja betul. Itulah salah diri kita, melupakan adab dalam berkomunikasi dan bersahabat," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 2:20 PM