REDZA ROSLI
REDZA ROSLI
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Nampak pelik, tapi itulah yang berlaku apabila mata kail pelakon popular, Redza Rosli terkena ular dan bukannya ikan.

Insiden itu berlaku di lokasi penggambaran drama Tak Sempurna Mencintaimu di Utan Aji, Perlis, semalam.

Penerbit drama itu, Fadzil Teh berkata, dia dan kru lain juga terkejut kerana itu pengalaman pertama mereka.

"Kebetulan penggambaran drama ini dibuat di kawasan kampung dan ada sungai. Jadi, setiap kali ada waktu rehat kru ambil peluang untuk memancing.

"Semalam, Redza pun turut serta. Apabila umpannya terkena, dia angkat dan semua terkejut kerana hasilnya bukannya ikan, tapi ular.

"Mungkin orang lain pernah melalui peristiwa sebegini. Tapi bagi saya dan kru lain termasuk Redza, ini pengalaman pertama kami," katanya.

Berkongsi mengenai penggambaran itu, Fadzil berkata, dia dan pasukan masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun lokasi dibuat di kawasan hijau.

"Kawasan merah ka, kuning ka atau hijau sekali pun, SOP kena jaga. Saya sentiasa ingatkan kru dan pelakon supaya sentiasa berhati-hati.

"Alhamdulillah, setakat ini penggambaran berjalan lancar. Insya Allah, kalau selesai di sini kami akan sambung di Kuala Lumpur pula.

"Saya herharap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat ditamatkan segera bagi memudahkan semua sektor beropreasi seperti sedia kala.

"Setakat ini produksi tidak ada masalah untuk ke mana-mana asal saja kena tunjuk Sijil Perakuan Penggambaran (SPP)," katanya.

Drama Tak Sempurna Mencintaimu itu bakal ditayangkan di slot Akasia hujung tahun ini.

Selain Redza, pelakon lain terbabit adalah Intan Najuwa, Rita Nadirah, Ali Reza, Azza Elite dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 2:57 PM