AIMAN TINO
AIMAN TINO
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Aiman Tino berkongsi rasa teruja atas kelahiran anak saudara pertamanya yang juga anak kepada kakaknya, penyanyi, Farah Hazel, pada 18 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Aiman dan kedua ibu bapanya tidak dapat melawat kakaknya itu ekoran kekangan jarak dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sekarang, kakak menetap di Terengganu. Jadi, kita tak dapat merentas negeri memandangkan Selangor masih lagi berada dikenakan PKPB.

"Saya sangat teruja dengan kelahiran anak saudara sulung ini yang juga menjadi cucu pertama dalam keluarga. Jadi, kami sekeluarga banyak berhubung dengan kakak melalui panggilan video dan kumpulan WhatsApp keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Bapa Aiman, Yusri Ishak yang juga komposer lagu Ku Rela Dibenci berkata, dia dan keluarga tidak sabar untuk menziarahi cucu sulung itu selepas PKPB ditamatkan.

"Farah bersalin ketika Selangor berada di bawah PKPB. Jadi, saya dan keluarga tak sabar menantikan PKPB ini tamat. Dapatlah kami sekeluarga merentas negeri ke Terengganu untuk melawat cucu," katanya.

Terbaharu, Aiman bakal muncul dalam telefilem Mak Cun Anjung Warisan yang bakal ditayangkan di TV3.

Selain Aiman, telefilem itu turut dibintangi Eirma Fatima, Datuk Aaron Aziz, Azad Jazmin, Arash Mohamad dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 3:35 PM