QIFF sanjung karya Afgan dan mahu jadi hebat sepertinya.
QIFF sanjung karya Afgan dan mahu jadi hebat sepertinya.
Georgie Joseph


MESKI kerjaya pendatang baharu dalam industri muzik tempatan ini belum mekar, nama Qiff atau nama sebenarnya Thaqif Idlan, 20, perlahan-lahan meniti di bibir peminat. Kualiti muzikal dalam dirinya menjadi senjata utama untuk memikat peminat.

Kemerduan suaranya menjadi senjata untuk mencairkan pendengar. Itulah juga misinya menerusi lagu Mengapa Kau Pergi. Judulnya saja sudah memberi bayangan bahawa lagu itu ada kisah mendalam.

Qiff mengakui karya itu sememangnya diilhamkan daripada pengalaman sebenar dirinya yang pernah kecundang dalam percintaan. Kongsinya, lagu terbabit amat memberi kesan dalam hidupnya secara peribadi.

"Lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang berupaya menjadi sempurna untuk kekasihnya, tetapi dia tidak dihargai dan ditinggalkan tanpa sebarang alasan. Setiap perkara yang dilakukannya dilupakan begitu saja.

"Namun dia masih setia menunggu walaupun kekasihnya sudah bertemu pengganti dirinya. Dia tidak berhenti menyalahkan dirinya atas segala yang terjadi kerana tidak menjadi seperti apa dia inginkan," katanya.

Berkongsi mengenai inspirasi lagu itu, Qiff mengakui banyak ilham datang daripada karya penyanyi terkenal Indonesia, Afgan. Dia menyimpan misi menjadi sehebat Afgan yang tidak pernah gagal menyentuh jiwa pendengar dengan karyanya.

Baginya, aspek itu menjadi hala tuju utamanya dalam memastikan dirinya tampil dengan identiti diingati. Justeru, dia bekerja keras menulis bait-bait lirik yang indah dengan bantuan rakan komposer lain.

"Lirik lagu dan melodi dicipta oleh rakan karib saya sendiri iaitu Danny manakala susunan muziknya oleh Bajai selaku penerbit. Idea jalan cerita diambil berdasarkan apa yang terjadi dalam kehidupan saya.

"Kebanyakan koleksi lagu Afgan menjadi inspirasi saya untuk mencipta lagu ini disebabkan saya pengikut setia muziknya. Untuk proses penulisan, Danny hanya mengambil masa dua hari untuk siapkan rakaman 'raw'.

"Bagaimanapun, terdapat perubahan yang tetap dibuat demi menjadikan lagu ini lebih sempurna dan menepati piawaian untuk diperdengar kepada khalayak. Ia termasuk penstrukturan semula susunannya oleh guru vokal saya, Cikgu Afif bersama Bajai," katanya.

Jika mendengar lirik dan melodi, pasti terbuai dengan jalan cerita yang ditulis begitu beremosi serta bersulam rintihan. Ditambah pula alunan nyanyian Qiff yang penuh mendayu, menjadikan makna lagu ini lebih sampai dan pastinya menusuk hingga ke sanubari pendengar.

Memandangkan lagu ini cukup berat maknanya dalam hati Qiff, dia mengakui berdepan cabaran dari segi penyampaian yang perlu dilakukan. Dia berusaha menyalurkan jiwanya tanpa dibayangi perasaan gagal mengawal emosi.

"Bagi saya bahagian paling sukar adalah sewaktu proses rakaman. Disebabkan lagu ini ada kaitan dengan kehidupan peribadi, ia sedikit sukar kerana saya harus mengimbas kembali segala yang pernah berlaku.

"Pesanan saya pada pendengar, jangan memaksa diri untuk melupakan seseorang tetapi belajar untuk reda dengan suratan yang sudah tertulis," katanya yang mula mencipta nama sebagai selebriti Instagram.

Kini dia sudah memiliki lebih 267,000 pengikut di IG. Dia mula dikenali selepas kerap memuat naik video nyanyian 'cover version' sebelum dilamar menjadi artis Sony Music Malaysia.

Tidak ketinggalan, dia juga menjadi satu daripada anggota The Five Music yang tampil dengan versi baharu Iman Mutiara 2020 pada Ramadan lalu sehingga 'trending' di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 6:50 AM