NONNY Nadirah dan Niezam Zaidi tak jadi kahwin.
NONNY Nadirah dan Niezam Zaidi tak jadi kahwin.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Nonny Nadirah, 31, mendedahkan perkahwinan yang dirancang bersama kekasih yang juga pelakon, Niezam Zaidi, 28, terpaksa dibatalkan.

Nonny yang memakluman perkara itu menerusi Instagram tengah malam tadi tidak mendedahkan mengenai punca pembatalan itu, namun dia memohon pengikutnya mendoakan kebahagiaan mereka dan masing-masing ditemukan dengan jodoh yang baik.

Menerusi hantaran itu, Nonny turut memohon maaf kepada pihak media kerana tidak dapat menghubungi mereka semula untuk menjelaskan mengenai perkara itu. 

"Sekadar makluman, selepas mengambil kata sepakat, perkahwinan antara kami sudah pun dibatalkan. Satu saja kami minta, tolong doakan kebahagiaan buat kami dan bertemu jodoh yang baik buat masing-masing ya.

"Sesungguhnya, kami hanya mampu merancang tapi Allah itu sebaik-baik perancang. Kepada rakan media, maaf saya tidak dapat nak 'get' balik dengan anda semua. Pada masa ini, 'I reserve my comment'. Harap anda semua faham," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Nonny turut memuat naik video dia bersama Niezam sedang menikmati sushi serta ucapan Selamat Hari Jadi buat Niezam yang bertarikh hari ini. Video itu turut diiringi dengan latar muzik dengan melodi sedih.

Dalam video berkenaan, pasangan itu juga kelihatan mesra sambil bergurau dan menikmati makanan.

Selain mengucapkan 'Happy Birthday', Nonny turut mendoakan Niezam yang kini dpanggilnya 'sahabat' supaya menjadi anak yang baik dan bertemu jodoh dengan orang yang baik-baik. 

Terdahulu, Nonny memberi bayangan bakal melangsungkan perkahwinan dengan Niezam dalam tempoh terdekat ini. Perkongsiannya itu dibuat menerusi sebuah video mereka yang sudah mengikuti kursus perkahwinan pertengahan September lalu.

Pada Julai lalu, Niezam juga sudah berjumpa keluarga Nonny di Kota Kinabalu, Sabah. Pertemuan secara rasmi kali pertama itu dibuat sebagai menghormati dan menunjukkan kesungguhannya dalam menjalin hubungan dengan Nonny.

Menurut Niezam, dia merancang untuk terus bernikah selepas selesai terbabit penggambaran drama Luka Di Hati Diya.

Nonny mengakui mula menjalin hubungan istimewa dengan Niezam sejak tahun lalu dan mula mendedahkan kisah cinta mereka pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:00 AM