FINAS
FINAS
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil langkah proaktif dalam membanteras aktiviti pengedaran filem yang tidak mematuhi undang-undang melalui penubuhan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak.

Finas dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil untuk memperkasa dan memantapkan penguatkuasaan, peraturan dan syarat lesen pengedaran selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

Selain itu, Finas juga mengingatkan kepada pemegang lesen pengedaran filem untuk menghentikan sebarang kegiatan pengedaran filem (menjual, menyewa dan memberi pinjam) melalui platform media sosial, e-dagang dan laman web yang membabitkan urusan jual beli dan sewaan atas talian tanpa lesen pengedaran yang sah, melakukan pelanggaran hak cipta serta syarat-syarat lesen yang ditetapkan.

"Finas bersifat terbuka dan menyambut baik untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan dalam membanteras kegiatan aktiviti pengedaran filem tanpa lesen yang sah," katanya.

Pada masa sama, perbadanan itu juga melaksanakan pemantauan terperinci terhadap aduan awam yang diterima mengenai kegiatan pengedaran filem tanpa kebenaran pemilik hak cipta. 

Tindakan tegas juga akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran yang menyalahi undang-undang berdasarkan Seksyen 22(1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

Jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 25(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM 50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 4:41 PM