Ghaz Abu Bakar
Ghaz Abu Bakar
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pengarah terkenal Ghaz Abu Bakar menyifatkan kejayaan filem Mael Totey The Movie meraih kutipan RM2.56 juta selepas empat hari ditayangkan di saluran Astro First sebagai rezeki Syahmi Syazli yang juga penerbit, pengarah dan pelakon filem itu.

Ghaz yang mencipta kejayaan menerusi filem Polis Evo dengan kutipan RM17.8 juta berkata, penggiat seni terutama pengarah tidak perlu cemburu kerana Syahmi mempunyai gaya dan genre pilihannya yang disukai penonton.

"Setiap pengarah mesti ada prinsip dan cara pengarahan sendiri. Rezeki filem meletup adalah kelebihan masing-masing. Kadang-kadang kita dah buat yang bagus tapi masa tayangan tak sesuai pula. Memang rezeki dia kerana ia ditayangkan ketika pandemik Covid-19 di Astro First yang kini menjadi satu trend," katanya kepada Harian Metro.

Ghaz berkata, penonton filem Mael Totey The Movie kebanyakannya peminat program televisyen atau YouTube yang mengenali Syahmi.

"Orang suka tengok YouTube yang mudah diakses. Apabila filem itu keluar di tv, mudah untuk mereka tengok. Kalau tayang di pawagam, mungkin juga susah nak agak kutipan kerana tak semua orang rajin nak pergi panggung wayang sekarang. Ketika sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun tak ramai yang rajin ke pawagam kecuali filem itu betul-betul menarik," katanya.

Menurutnya, fenomena YouTuber beralih arah kepada filem bukan baru dan turut berlaku di Indonesia dan Hollywood.

"Apapun tahniah atas kejayaan Syahmi. Syabas kerana berani keluarkan modal melangkah ke dalam industri perfileman Malaysia. Harap ini permulaan terbaik buatnya dan jangan patah semangat dengan komen negatif warganet dan sebagainya. Teruskan usaha dan buat apa yang orang suka," katanya.

Sementara itu, pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof pula hormat dengan kejayaan Syahmi sebagai seorang pengkarya muda.

"Kami pun saling mengikuti perkembangan masing-masing di Instagram. Bagi saya kutipan yang diperoleh itu sangat baik. Memang saya tahu bajet filemnya rendah. Dia bukan pembikin filem profesional tapi saya tetap hormat kerana dia tahu sasaran peminatnya.

"Kita tahu mungkin ada yang suka dan tak suka filem ini tapi ia sudah terbukti, bukan saja peminatnya di YouTube tapi juga di luar," katanya.

Syamsul yang mengarah filem Munafik 2 dengan kutipan RM48 juta berkata, seni itu luas dan tidak semestinya sesebuah hasil karya itu perlu mengikut teknikal.

"Seni itu sangat subjektif. Yang penting penonton suka dan terhibur. Itu yang mereka mahukan. Diharapkan kejayaan ini membangkitkan lagi semangat pengkarya muda di luar sana tak kisah dari bandar atau kampung. Yang penting mereka kena ada visi dan perancangan serta berani. Itulah sebabnya saya selalu tekankan hubungan pengkarya dengan pengkarya lain," katanya.

Syamsul berkata, setiap pengkarya tidak boleh memandang rendah walaupun dari mana asal usul dan latar belakang seseorang pengarah.

"Syahmi berjaya hari ini dan pengkarya lain perlu buang ego belajar dengan dia. Syahmi pun boleh belajar daripada mereka yang berpengalaman untuk menambah ilmu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 5:41 PM