X
PROGRAM muzik cari jodoh LCK2 bakal temui penonton 8 November ini di TV3.
PROGRAM muzik cari jodoh LCK2 bakal temui penonton 8 November ini di TV3.
Georgie Joseph

Walaupun berkonsepkan program muzik cari jodoh, Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2) tetap mengutamakan nyanyian sebagai kriteria penting. Semestinya pemenang yang dicari dalam program itu penyanyi terbaik.

Bakal memulakan siaran pada 8 November ini, setiap Ahad, jam 9 malam di TV3, LCK2 juga menampilkan juri tetap iaitu Hael Husaini dan Mas Idayu bagi menilai kemampuan vokal setiap peserta.

Sebagai juri tetap sejak musim pertama, Hael mengakui pertandingan itu ada pesonanya tersendiri dan tarikan istimewanya ialah konsep cari jodoh itu.

Dalam masa sama, dia berharap peserta bertanding tidak mengetepikan elemen vokal mereka.

"Untuk musim ini, saya cuma mahu peserta mempersiapkan diri sebaiknya terutama untuk nyanyian. Mereka perlu menonton kembali musim terdahulu sebagai kajian sebelum bertanding.

"Saya berharap kualiti nyanyian mereka berada pada tahap yang menyakinkan. Ini kerana cabaran utama dalam pertandingan ini adalah untuk mengagumkan penonton baik pada personaliti dan vokal secara keseluruhan," katanya.

Sementara itu, Mas Idayu berkata, dia akan memastikan tampil dengan kritikan membina buat peserta mengikut kebiasaannya. Dia mahu peserta mengambil serius setiap kritikan yang akan diberikan nanti.

"Apabila terbabit dengan program berepisod seperti ini, saya dapat memantau bagaimana prestasi mereka setiap minggu. Jadi, saya akan pastikan mereka tunjukkan peningkatan.

"Seperti biasa, saya memang akan cakap terus-terang apa yang mahu ditegur. Kalau ia tidak kena di hati dan tiada kemajuan, mungkin akan menimbulkan kemarahan saya sehingga meninggikan suara. Tapi, itu semua untuk kebaikan mereka," katanya.

HAEL harap kualiti nyanyian peserta berada pada tahap yang menyakinkan.
HAEL harap kualiti nyanyian peserta berada pada tahap yang menyakinkan.

Diadaptasi daripada program popular CJ ENM, Love At First Song, program cari jodoh menerusi muzik itu bakal menampilkan Elly Mazlein sebagai hos tetap. Dia turut bergandingan dengan pasangan hos berlainan iaitu Michael Ang dan Azwan Ali.

Pada musim pertama, Lagu Cinta Kita menobatkan Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan sebagai juara. Keserasian yang wujud antara mereka sekali gus membibitkan perasaan cinta sehingga ke jenjang pelamin dan berkahwin pada 25 Julai lalu.

Pencarian peserta LCK2 berlangsung secara atas talian pada 1 hingga 15 Oktober lalu. Pada pusingan awal, 36 peserta akan dipadankan mengikut giliran iaitu 6 pasangan pada episod satu, dua dan tiga.

Peserta memilih lagu mengikut urutan yang ditetapkan oleh juri tetap berdasarkan vokal mereka. Kemudian, peserta dipadankan dengan pasangan duet mengikut pilihan lagu yang sama. Di awal persembahan, mereka akan menyanyi di dua pentas yang berbeza.

MAS Idayu mahu pastikan peserta tunjukkan peningkatan.
MAS Idayu mahu pastikan peserta tunjukkan peningkatan.

Mereka memerlukan undian penonton di rumah untuk mengalihkan dinding pemisah di antara pentas mereka. Ketika itu baharulah peserta dapat melihat siapakah pasangan duet mereka. Selepas itu, persembahan mereka perlu mendapatkan undian daripada semua juri supaya pentas dicantumkan dan mara ke pusingan seterusnya.

Hanya 10 pasangan duet akan meneruskan perjalanan ke episod keempat iaitu Love Camp Song. Di peringkat itu mereka akan diberikan peluang untuk mengenali sesama sendiri dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Mereka juga akan diberikan tugasan yang menguji keserasian sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan. Setiap pasangan duet juga akan diberikan tajuk lagu yang akan dipertandingkan di pentas LCK2. Bermula peringkat ini, penilaian persembahan terletak di tangan panel juri sepenuhnya.

Sembilan pasangan yang masih bertahan akan berhadapan dengan ujian yang lebih getir di mana mereka akan membuat persembahan mengikut tema mingguan yang ditetapkan. Tujuh pasangan duet yang bakal bertanding di pusingan separuh akhir.

Hanya lima pasangan akan berentap di pusingan akhir pada 3 Januari tahun depan. Juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM 50,000, tempat kedua RM 30,000, tempat ketiga RM 20,000, tempat keempat RM 15,000 dan tempat kelima RM 10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 6:17 AM