X
KHAI bakal muncul dengan single duet bersama penyanyi wanita yang masih dirahsiakan identitinya.
KHAI bakal muncul dengan single duet bersama penyanyi wanita yang masih dirahsiakan identitinya.
Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi popular, Khai Bahar yang pernah memenangi tiga kali kategori Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) mengakui tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk menang begitu juga pada anugerah lain.

Khai, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, tercalon dan berada pada kedudukan Top 5 sudah dianggap pencapaian bagi kerjaya dan dirinya secara peribadi.

"Setiap kali tercalon dalam mana-mana kategori anugerah saya anggap ia rezeki. Kalau menang, ia adalah bonus buat diri dan kerjaya. Bagi saya, kalau sudah tercalon bukan bermakna diri sudah bagus, sebaliknya perlu lebih bekerja keras untuk menjadi lebih baik.

"Saya percaya, berada pada kedudukan sekarang ini bukan hasil usaha sendiri, tapi dibantu oleh orang sekeliling terutama pasukan pengurusan, peminat (Khai Bahar Empire) dan peminat lain.

"Disebabkan mereka juga saya sentiasa memperbaiki diri dan meningkatkan mutu kerja. Saya tidak mahu sekadar popular, tapi juga terbaik," katanya.

Menerusi ABPBH-33 tahun ini, Khai sekali lagi tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Kolaborasi/Duo Popular bersama Siti Nordiana.

Menurut Khai yang baharu muncul dengan single Durja berkata, kalah atau menang adalah adat bertanding.

"Setiap tahun kategori ini mencalonkan nama-nama hebat dan popular. Sesiapa saja yang menang adalah layak. Jadi, tidak ada apa yang perlu dipertikaikan.

KHAI sentiasa bekerja keras untuk memajukan diri.
KHAI sentiasa bekerja keras untuk memajukan diri.

"Memandangkan pemenang anugerah ini berdasarkan undian peminat, jadi kuasa peminat memainkan peranan penting. Jadi, saya percaya dengan kesungguhan dan kesetiaan KBE pada saya.

"Begitu juga dengan kelab peminat artis lain yang mana kalau boleh mahu artis mereka juga menang. Tinggal lagi berbalik kepada rezeki," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khai bakal muncul dengan single duet dengan penyanyi wanita yang masih dirahsiakan identiti.

Sebelum ini, Khai pernah berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Nordiana dan Fatin Husna.

"Lagu duet itu sudah siap dirakamkan. Ikutkan projek ini sudah lama dirancang, cuma masa masih belum mengizinkan. Saya sendiri secara peribadi mengagumi bakatnya.

"Lagu ini berentak balada. Kami bukan setakat berduet, malah saya dan dia turut berkongsi idea mencipta lagu ini. Insya-Allah kalau tiada aral melintang, lagu ini akan dilancarkan sekitar November atau Disember depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 6:20 AM