MAHU pastikan anak dapat meneruskan pembelajaran sepanjang tempoh PKPB. FOTO Rohanis Shukri
MAHU pastikan anak dapat meneruskan pembelajaran sepanjang tempoh PKPB. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri

Walaupun terpaksa berada di rumah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelakon, Aeril Zafrel tetap memastikan anak-anaknya terus mencari ilmu.

Kerana tidak dapat menjalani pembelajaran di sekolah seperti biasa, Aeril mengambil inisiatif sendiri dengan menjemput guru bagi mengajar anak-anaknya di rumah.

"Untuk anak-anak, tempoh PKPB ini mungkin tak menjadi masalah kerana mereka pun masih kecil dan akur apabila saya dah isteri jelaskan mengenai apa yang berlaku. Disebabkan tak dapat ke sekolah, jadi, saya jemput guru untuk mengajar di rumah. Sekurang-kurangnya, dalam tempoh ini mereka dapat teruskan pembelajaran," katanya.

Dia sendiri juga banyak memberi kefahaman kepada anak-anak dan membuatkan mereka selesa walaupun terpaksa 'berkurung' di dalam rumah.

"Saya bekerja seperti biasa, cumanya ada masanya saya luangkan masa bersama mereka. Jadi, mereka penuhi dengan beberapa aktiviti di rumah contohnya bermain dengan haiwan peliharaan," katanya.

Aeril juga tidak menafikan, krisis pandemik Covid-19 ini sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada ekonomi.

"Walaupun saya masih lagi bekerja, tapi saya sedar bahawa krisis ini mengganggu ekonomi ramai orang. Secara tak langsung, ini juga memberi kesan kepada emosi seseorang. Kalau ada salah atau silap sedikit pun dah boleh membuatkan seseorang marah," katanya.

Aeril menyeru supaya seluruh masyarakat memberi penekanan kepada kesihatan emosi masing-masing.

"Jaga diri dan kesihatan emosi kita. Baru-baru ini, saya ada terbaca mengenai individu yang membunuh diri kerana terlalu rindukan keluarga.

"Ada juga yang dibuang kerja sekali gus mengganggu emosi. Jadi, saya harap kita semua dapat pastikan emosi kita berada dalam keadaan stabil," katanya.

Terbaru, Aeril kini sedang menjalani penggambaran drama 20 episod berjudul Tercipta Satu Ikatan dan selepas ini, akan meneruskan lakonan untuk drama Cukup Derita Itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 6:18 AM