Georgie Joseph

Annyeongasehyo! Selebriti Korea Selatan yang sedang menjalani latihan khidmat ketenteraan adalah dilarang mempromosikan sebarang aktiviti seni mereka. Itu antara peraturan yang perlu dipatuhi dan ditetapkan pihak pengurusan di sana.

Bagaimanapun, tindakan pelakon Park Bo Gum mempromosikan drama terbaharunya,Record of Youth di sebuah konsert anjuran tentera kelmarin mengundang padah. Tindakannya itu dianggap melanggar peraturan.

Pada acara berkenaan, dia menjadi hos bersama Park Se Young. Sebagai memeriahkan acara, perbualan mereka di pentas berlaku secara semula jadi dan turut menyentuh topik mengenai kerjaya seni masing-masing.

Bagaimanapun, pihak Angkatan Tentera Korea Selatan menyifatkan tindakan itu sebenarnya tiada masalah dari segi undang-undang. Ia kerana pelakon terbabit sebenarnya menjawab soalan yang diajukan hos gandingannya itu.

"Kenyataan Park Bo Gum pada acara itu adalah sebagai respons kepada soalan pasangan hosnya yang bertanya mengenai keadaannya. Selepas diteliti, insiden itu bukan bermotif mencari untung. Pada masa hadapan, kami akan berhati-hati menilai aspek sebegini apabila terbabit dalam sebarang aktiviti bersama orang awam," demikian kenyataan pihak berkuasa itu.

Ketika kejadian, penganjur mengadakan konsert sebagai meraikan ulang tahun pihak berkuasa itu. Park Se Young kemudian bertanyakan khabar Park Bo Gum yang kini sedang menjalani latihan khidmat ketenteraan.

"Anda sedang berlakon drama Record of Youth dan sesetengah orang mungkin tidak sedar anda sedang menjalani khidmat tentera. Bila anda memasuki kem tentera?" soal Park Se Young.

Park Bo Gum kemudian menjawab dia sudah menamatkan latihan dan menyertai acara rasmi pertamanya di Pulau Jeju. Kebetulan, malam itu adalah episod terakhir Record of Youth dan dia berharap semua akan menontonnya. Dia turut bercerita mengenai filemnya bersama Gong Yoo.

Selepas itu, aduan dilakukan terhadapnya. Undang-undang tentera menyatakan mana-mana anggota tentera tidak boleh terbabit dalam tugasan berkeuntungan sewaktu masih dalam perkhidmatan.

Seorang warganet bagaimanapun memulakan petisyen dalam talian yang mendakwa kenyataan Park Bo Gum boleh mempengaruhi jumlah tontonan terhadap projeknya. Justeru, individu itu beranggapan tindakannya itu bermotifkan cari keuntungan.

Pelakon terbabit memulakan khidmat ketenteraannya pada 31 Ogos lalu dan sudah menamatkan latihan asas wajib di kem. Sekarang, dia meneruskan khidmatnya sebagai tentera promosi kebudayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 6:30 AM