CHACHA MAEMBONG
CHACHA MAEMBONG
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Chacha Maembong membuat laporan polis pada 20 Oktober lalu kerana tidak tahan dengan komen keterlaluan dan fitnah di media sosial selepas dikatakan terbabit dengan sindiket pelacuran kelas atasan dan aktiviti Macau Scam.

Chacha yang membuat laporan di Balai Polis Seremban berkata, dia sudah dipanggil pegawai penyiasat dan sudah memberi kerjasama penuh. 

"Laporan dibuat sebab ramai yang terlalu melampau. Apabila melampau ia memberi kesan kepada perniagaan dan siap nak suruh boikot. Kononnya saya guna duit haram. Jadi, perkara ini beri kesan kepada kerja dan perniagaan. Tersekat rezeki. Apabila tersekat, saya kena buat laporan sebab ia adalah fitnah. Kalau fitnah, saya buat tak tahu, lagilah menjejaskan nama dalam industri hiburan. 

"Pegawai penyiasat pun sudah panggil untuk bantu siasatan. Saya cerita semua A sampai Z dan saya tidak terbabit dalam sindiket pelacuran kelas atasan. Saya juga tidak dipanggil SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berhubung kes Macam Scam. Memang tak ada. Saya tak tahu kenapa ia dikaitkan dengan saya. Cuma saya fikir, mungkin disebabkan gambar lama yang disebarkan itu saya dikaitkan sekali lagi. Sedangkan ia tak ada kena mengena pun. 

"Netizen memang suka cari balik gambar lama dan tularkan semula. Jadi, saya cakap kepada peguam memang saya tak ada kena mengena. Saya cuma berkawan dengan individu bernama Datin Alia itu, tidak ada lebih dari itu," katanya kepada Harian Metro.

Chacha berkata, dia tidak tahu apa kesalahannya tetapi tiba-tiba dikaitkan dengan isu itu. 

"Selama ini saya buat baik saja dan sudah tinggalkan dunia lama. Saya nak fokus kerja dan cari duit saja sebab kita tak tahu sampai bila orang nak panggil kita berlakon. Selagi orang nak, saya buat. Jadi, apabila keluar cerita begini, terkilanlah sebab orang masih nampak kejahatan saya berbanding kebaikan. Jadi, perkara ini saya reda dan anggap ujian dalam pada saya nak membina nama semula," katanya.

Chacha berkata, keluarga menyokongnya kerana mereka tahu dia tak buat kerja itu dan meminta dia tidak melayan komen melampau warganet itu. 

"Mereka cakap mulut orang tak boleh tutup. Sama ada kuat untuk hadapi atau tak. Cuma diakui masa mula-mula kena memang tak kuat," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 5:12 PM