BINCANG Niaga mendapat sambutan yang menggalakkan.
BINCANG Niaga mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sudirman Mohd

STESEN TV AlHijrah meneruskan lagi misi bantuan membangunkan ekonomi usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi kempen Bincang Niaga Extra yang dilancarkan pada 26 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris, berkata, sesi itu bertujuan membantu usahawan yang berminat untuk meneroka cabang promosi perniagaan di televisyen.

"Pada perancangan awal, kami berhasrat untuk mengadakan sesi ini secara fizikal di stesen penyiaran kami iaitu di Kompleks Pusat Islam. Namun, selaku rakyat yang bertanggungjawab kami akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan pada 14 Oktober 2020 lalu agar tidak melakukan sebarang aktiviti yang mengumpulkan orang ramai.

"Oleh itu, sesi suai temu serta perkongsian ilmu bersama usahawan yang berminat untuk meneroka cabang promosi perniagaan di televisyen akan diadakan secara atas talian sahaja bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Menurut Namanzee, Bincang Niaga Extra masih diteruskan kerana menerima banyak permintaan daripada usahawan PKS terutamanya usahawan yang pernah menerima bantuan pengiklanan percuma TV AlHijrah menerusi program Pakej Stimulus IKS TV AlHijrah (PSIKS).

"PSIKS adalah inisiatif bersepadu yang memberikan ruang pengiklanan percuma bernilai RM28,000 kepada mereka yang layak. PSIKS yang dilancarkan pada Mac lalu dilaksanakan bagi menyokong kempen Musaadah Covid-19 yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyantuni usahawan PKS yang terkesan akibat Covid-19.

"Saya percaya, kumpulan usahawan yang kami bantu secara percuma sewaktu program Pakej Stimulus Industri Kecil Sederhana (PSIKS) yang lalu sudah nampak respons positif dan impak kuasa pengiklanan di televisyen. Rata-rata mengalami lonjakan semula aliran perniagaan mereka setelah mengiklan bersama kami," katanya.

SESI penerangan Bincang Niaga.
SESI penerangan Bincang Niaga.

Dalam masa sama, Namanzee turut memberi jaminan bahawa stesen TV AlHijrah masih mendapat tempat di hati penonton Malaysia selaku media Islam yang adil dan bertanggungjawab.

Ini jelas terbukti apabila jumlah tontonan TV AlHijrah stabil dalam penguasaan semua segmen siaran sama ada pada waktu awal pagi mahupun waktu puncak.

"Kami turut menguasai angka tontonan terkumpul terbaik Januari hingga Ogos lalu iaitu sekitar 14 juta penonton televisyen, 74 juta penonton di platform media digital.

"Kredibiliti TV AlHijrah sebagai saluran TV gaya hidup Islam yang dipercayai tidak harus disangkal lagi. Ini kerana, sebagai stesen Islamik, apa saja produk yang disiarkan di TV AlHijrah perlulah patuh syariah dan halal. Hubungi kami untuk berbincang dan atur strategi terancang serta holistik. Ini adalah tugasan fardu kifayah kami," katanya.

EKSEKUTIF Penjualan Media TV AlHijrah menyantuni usahawan PKS.
EKSEKUTIF Penjualan Media TV AlHijrah menyantuni usahawan PKS.

Usahawan PKS yang berminat untuk memasarkan produk mereka di TV AlHijrah dengan pakej serendah RM2,000 hanya perlu menonton TV AlHijrah atau lawati Facebook TV AlHijrah dan mendaftar menerusi kod imbasan QR yang disediakan. Jangan ketinggalan kerana slot pengiklanan harga berbaloi ini adalah sangat terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:30 AM