SITI NURHALIZA
SITI NURHALIZA
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan kejayaan mengadakan konsert sulung iaitu Konsert Live Siti Nurhaliza pada 1999 adalah sejarah buat diri dan kerjaya seninya.

Siti berkata, konsert yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang kini dikenali Axiata Arena Bukit Jalil itu juga menjadi permulaan untuk dirinya menghasilkan konsert terbaik.

"Saya bersyukur kerana bermula pada usia yang agak awal iaitu 21 tahun untuk membuat konsert besar. Itu adalah titik permulaan untuk saya terus menghasilkan konsert terbaik.

"Permulaan konsert saya adalah sejarah bagi saya dan saya sangat bersyukur, Alhamdulillah. Terima kasih semua yang sebenarnya menjadi peniup semangat saya dalam setiap konsert yang dilakukan," katanya.

Siti berkongsi perkara itu menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube Siti Nurhaliza bersempena ulang tahun ke-21 konsert itu, semalam.

Menerusi video Replay: 21 Tahun Konsert Live Siti Nurhaliza 1999 itu, Siti berkata, konsert berkenaan mengajar dirinya banyak perkara.

"Saya nak katakan pada diri saya, pada usia sekarang ini, syabas Siti, Alhamdulillah Siti. Saya sudah lalui perjalanan yang sangat mencabar, yang membuatkan saya belajar banyak perkara," katanya.

Mengimbau perjalanan konsert itu, Siti berkata, setiap segmen yang ditampilkan mempunyai keunikan tersendiri.

Selain Siti, video berdurasi 11 minit itu turut menemubual beberapa individu yang terbabit pada konsert itu.

Antaranya, Aubrey Suwito yang ketika itu selaku pemain keyboard, jurusolek, Nurul Shukor, pereka tari, Patt Ibrahim, pereka fesyen, Michael Ong dan pengurus, Rozi Abdul Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 11:22 AM