BELLA Astillah
BELLA Astillah
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah membuat permohonan maaf secara terbuka di Instagram selepas dikecam kerana dianggap tidak sensitif apabila memakai pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines ketika menghadiri satu majlis hari jadi, baru-baru ini. 

Dalam kenyataan itu juga, Bella berkongsi mengenai rasa kagumnya dan bagaimana dia pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi pramugari. 

"Saya mohon maaf kerana menggunakan pakaian seragam itu tanpa mengetahui lebih awal akan maklumat, sejarah dan etika berkenaan pakaian seragam Malaysia Airlines. Hari ini baru saya berkesempatan untuk bercerita serba sedikit mengenai pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines yang saya pakai pada 16 September lalu sempena tema 'dream job' (kerjaya impian) sambutan hari jadi Aidil (ahli keluarganya). Saya membuat keputusan untuk memperagakan pakaian itu semata-mata kerana kerjaya pramugari Malaysia Airlines adalah impian saya sejak kecil," katanya. 

Katanya, dia juga menyimpan banyak kenangan bersama syarikat penerbangan itu sepanjang hidupnya.

"Saya berasal dari Sabah dan memang dari kecil menaiki pesawat Malaysia Airlines untuk perjalanan ulang alik ke Kuala Lumpur," katanya. 

Menurut isteri kepada penyanyi, Aliff Aziz itu lagi, dia juga sudah bertemu dengan wakil daripada Malaysia Airlines yang membantu menjelaskan simbolik rekaan pakaian seragam itu. 

"Pihak Malaysia Airlines ada berjumpa dengan saya dan menerangkan dengan terperinci akan keistimewaan pakaian seragam itu. Alhamdulillah banyak ilmu yang saya peroleh yang mana saya rasa sangat bermanfaat untuk dikongsikan kepada orang ramai terutamanya yang hanya mengetahui serba-sedikit mengenai sejarah Malaysia Airlines. 

Bella juga berkongsi serba sedikit mengenai sejarah pakaian seragam itu bersama pengikutnya di Instagram. 

Walaupun insiden itu berlaku hampir dua bulan lalu, Bella masih menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk mereka yang bekerja dalam bidang penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 12:19 PM