HAQIEM Rusli menunaikan hasrat ibunya untuk memiliki kereta baharu. FOTO arkib NSTP
HAQIEM Rusli menunaikan hasrat ibunya untuk memiliki kereta baharu. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur:  Penyanyi popular dan komposer, Haqiem Rusli, 21, menunaikan hasrat ibunya, Nazrah Ahmad Nordin untuk memiliki kereta baharu jenis Proton X70 yang dianggarkan bernilai RM122,800.

Terdahulu, Haqiem berkongsi foto dia bersama ibunya berlatar belakangkan kereta berkenaan yang berwarna merah di Instagram Story dengan kapsyen ringkas, suka emak dapat kereta baru.

Penyanyi lagu Tergantung Sepi itu, yang dihubungi berkata ibunya sudah menyatakan hasrat ingin memiliki kereta baharu sejak awal tahun ini lagi.

"Bagaimanapun, sekarang baru ada rezeki untuk kami beli. Saya dan ibu, berkongsi wang membelinya bersama-sama.

"Namun, saya juga sebenarnya taknaklah heboh-hebohkan cerita beli kereta baharu ini. Nanti, tentu ada yang kurang selesa mengenainya.

"Apapun, bila ia sudah ditanyakan, saya okay saja memberi penjelasan. Tetapi, sama ada ia dibeli secara tunai atau tidak, biarlah rahsia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Haqiem, sebagai anak dia berusaha menggembirakan ibu tersayang, apatah lagi kereta itu adalah kenderaan idaman yang sudah  disuarakan ibunya agak lama untuk dimiliki.

Baru-baru ini, Haqiem berkongsi di Twitter, dia membeli kereta mewah jenis Mercedes-Benz GLC 200 yang dianggar bernilai RM290,000 sebagai 'reward' untuk dirinya sendiri.

Ditambah, ujarnya itu adalah kereta idaman dan berbaloi dimiliki selepas bekerja keras selama ini membina kerjaya seni.

"Alhamdulillah, atas rezeki Allah SWT. Saya ada banyak juga buat 'survey' termasuk kereta BMW dan Range Rover, tapi ini menjadi pilihan. Ayah pun suka," katanya. 

Bagi kerjaya nyanyianya, Haqiem yang muncul dengan single Adlina Marie, turut tampil dengan lagu baharu berjudul Lara secara trio bersama dua sahabatnya, Naim Daniel dan Hael Husaini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 3:15 PM