AZMI muncul dengan lagu ciptaan sendiri berjudul Tulus khas untuk isteri.
AZMI muncul dengan lagu ciptaan sendiri berjudul Tulus khas untuk isteri.
Sudirman Mohd Tahir

Nama penyanyi, Azmi Saat tidak perlu diperkenalkan lagi.

Bakat dimiliki adalah anugerah terindah buat dirinya, malah menjadikan dirinya luar biasa.

Siapa sangka, Azmi yang terlebih dahulu popular menerusi kumpulan Caliph Buskers turut mempunyai kelebihan lain iaitu mencipta lagu.

Selepas beberapa lagu nyanyiannya mencuri perhatian ramai, terbaharu Azmi muncul dengan lagu Tulus.

Menariknya, lagu itu dicipta sekitar awal 2008 ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Masa yang ada dimanfaatkan Azmi dengan mempelajari selok-belok teknik rakaman audio menggunakan komputer melalui rakannya.

Daripada lirik, melodi, susunan muzik dan rakaman semuanya dilakukan sendiri.

Usaha dan kejayaan Azmi itu wajar diberi pujian kerana lagu Tulus adalah karya pertama yang berjaya disiapkan hasil percubaannya itu, sekali gus menyerlahkan lagi bakat dalam diri.

Awal tahun ini, Azmi dilamar syarikat Valient Music sebagai artis rakaman.

Dari situ Azmi digalakkan supaya terus mencipta lagu sendiri dan mendalami mengenai produksi muzik.

Azmi berkata, peluang diberikan lantas digunakan sebaiknya dengan memperdengarkan lagu Tulus kepada pihak Valient Music dan mereka bersetuju menggunakan khidmat Ezra Kong bagi menerbitkan lagu berkenaan.

AZMI berharap Tulus dapat diterima baik peminat.
AZMI berharap Tulus dapat diterima baik peminat.

"Ketika saya ditawarkan kontrak rakaman dari Valient Music, saya terus terima kerana mereka memberi peluang kepada saya untuk mengetengahkan karya saya di samping peluang untuk bekerjasama dengan produser terkenal, Ezra Kong.

"Tulus berkisar mengenai kisah perasaan saya yang mula merasai hadirnya cinta yang tulus daripada seseorang. Lagu ini khas untuk teman istimewa saya yang sudah pun bergelar isteri saya sekarang.

"Perasaan saya sangat teruja kerana ini adalah lagu pertama yang saya cipta sendiri. Apatah lagi ia ada kaitan dengan kisah hidup saya. Sesuatu yang mengujakan kerana dapat berkongsi dan perdengarkan kepada peminat," katanya.

Melalui Tulus, Azmi juga berharap pendengar sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain walaupun tidak mendapat balasan sebagaimana yang diharapkan.

Tegas Azmi, sifat tulus itu tidak pernah mengharapkan apa faedah dari setiap yang dilakukan.

Tulus diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dan Valient Music. Single ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes dan YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 6:43 AM