Chadwick Boseman tiada ganti.
Chadwick Boseman tiada ganti.
Agensi

 

Amerika Syarikat: PENERBIT Marvel Studios tidak akan menggantikan watak Black Panther lakonan mendiang Chadwick Boseman dengan pelakon lain.

Malah mereka juga tidak bercadang menggunakan teknologi digital untuk mencipta imej aktor terbabit untuk sekuel filem itu.

Naib Presiden Eksekutif Marvel Studios, Victoria Alonso berkata, mereka tidak mahu berbuat demikian kerana menyedari hanya ada satu Chadwick Boseman dan kini tidak lagi bersama mereka. 

"Raja kita, sayangnya sudah meninggal dalam kehidupan nyata, bukan hanya sekadar fiksyen dan kami sedang mencari cara bagaimana untuk kami melanjutkan ceritanya. 

"Apa yang boleh kami lakukan untuk menghormati cerita tak terduga ini, amat menyakitkan dan amat menyedihkan," katanya. 

Menurutnya, Boseman bukan hanya sekadar manusia luar biasa selama lima tahun mereka bekerja sama, tetapi juga turut melakar sejarah bagi Marvel.

"Dua atau tiga bulan lagi kami dalam proses produksi dan ramai anggap tempoh itu masih lama. Namun, kami harus berfikir dengan baik apa yang akan dilakukan, bagaimana, dan berfikir berkenaan apa yang akan kami lakukan untuk menghormati francais ini," katanya. 

Terdahulu Presiden Marvel Studio, Kevin Feige, mengesahkan mereka akan menghasilkan sekuel Black Panther dengan Ryan Coogler dipercayai kembali menjadi pengarah dan penulis skrip filem itu

Coogler pernah menyatakan filem Black Panther 2 akan memberi fokus pada karakter Raja T'Challa (Black Panther) lakonan Boseman. 

Ia akan memaparkan pemerintahan T'Challa dan cara ia menyesuaikan diri dengan takhta.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 10:33 AM