NABILA Razali tarik diri dari Separuh Akhir Muzik Muzik 35.
NABILA Razali tarik diri dari Separuh Akhir Muzik Muzik 35.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Nabila Razali tidak dapat menyertai pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) yang akan berlangsung malam ini dan Ahad atas faktor kesihatan.

Pengurusnya, Mohd Asrul Abdul Talib berkata, keputusan terbabit dibuat selepas mendapat nasihat doktor, guru vokal Datuk Syafinaz Selamat dan komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini & MFMF.

"Dukacita saya ingin memaklumkan bahawa artis di bawah jagaan saya, Nabila Razali tidak dapat membuat persembahan di SFMM35 yang bakal berlangsung bermula malam ini atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Asrul, pelbagai usaha rawatan sudah dilakukan termasuk mendapatkan khidmat doktor pakar namun berehat adalah jalan terbaik.

"Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas SFMM antara yang menjadi impiannya sebagai penyanyi. Dia sudah menjalani latihan vokal sejak September lalu dengan Syafinaz sebagai persiapan awal. Namun, masalah ini dikesan sejak minggu lalu menjadi semakin teruk," katanya.

Nabila sepatutnya menyanyikan lagu Peluang Kedua pada Ahad, iaitu hari terakhir penganjuran SFMM.

Asrul berkata, pengganti Nabila masih belum dapat diputuskan namun sedang berusaha mendapatkan pengganti terbaik.

"Pihak kami masih mengusahakan siapa pengganti terbaik untuk lagu ini. Sebarang perkembangan mengenainya akan diberitahu kemudian. Pihak produksi juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini. Segala kesulitan amatlah kami kesali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 5:39 PM