Liza Hanim
Liza Hanim
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Liza Hanim menjelaskan dia bukanlah penyanyi yang akan menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi menyampaikan lagu Aku Bidadari Syurgamu di pentas separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35), malam ini. 

Dalam hantaran di Instagram Story, Liza berkata, dia menerima banyak ucapan daripada peminat yang menjangka dia akan menggantikan Siti. 

"Beberapa hari ini terlalu banyak yang menyampaikan 'good luck' kepada saya untuk SFMM 35. Spekulasi mengatakan saya bakal menggantikan Siti untuk lagunya Aku Bidadari Syurgamu. 

"Dengan ini, saya nak jelaskan bukan saya yang akan menyanyikan lagu indah itu. Walaubagaimanapun, saya sangat terharu dengan sokongan dan harapan yang dinyatakan oleh semua," katanya. 

Penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu juga turut mengucapkan selamat maju jaya kepada penyanyi yang bakal menggantikan Siti malam ini, namun  tidak menamakan siapa penyanyi itu. 

"Selamat maju jaya kepada kesayangan saya yang akan mendendangkan lagu itu. Kamu akan lakukan satu magis.

"Kepada pasukan Aku Bidadari Syurgamu, semoga lagu ini akan ke peringkat akhir (Anugerah Juara Lagu)," katanya.

Nama Liza menjadi sebutan bagi menggantikan Siti pada pertandingan kali ini. Selain Liza, beberapa nama lain turut disebut antaranya Misha Omar yang terlebih dahulu membuat penafian. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 2:07 PM