PERCATURAN tepat, lagu Aku Masih Di Sini diterima baik peminat Klangit Band.
PERCATURAN tepat, lagu Aku Masih Di Sini diterima baik peminat Klangit Band.
Norhayati Nordin

SEMAKIN mendapat perhatian pendengar dengan lagu baharu berjudul Aku Masih Di Sini, ia dianggap percaturan tepat buat Klangit Band.

Ia berikutan selepas muncul dengan dua album pada 2012, kumpulan trio diwakili tiga pemuda ini mengambil langkah membawa haluan masing- masing.

Kekal dianggotai Mohd Haris Muhamad atau Haris selaku pemain gitar, Mohamad Nor Hadre Ayub (Ary, penyanyi) dan Rizan Yaakop (Ijan, pemain dram), Klangit Band rancak mengatur langkah.

Menurut Haris, walaupun tidak mudah melaksanakan strategi baharu, tetapi melihat pada sokongan pendengar terhadap lagu Aku Masih Di Sini, ia cukup memadai.

"Terima kasih kerana masih menyokong perjuangan muzik kami. Walaupun ketika ini penggiat industri muzik berhadapan cabaran besar, Klangit Band akan terus berkarya.

"Walaupun rindu untuk menghiburkan peminat di persembahan pentas, tetapi kami sangat bersyukur kerana lagu Aku Masih Di Sini diterima sangat baik dan menggalakkan," katanya.

Menyedari kini negara masih berhadapan penularan Covid-19, Haris berkata, Klangit Band juga tidak mahu terlalu terburu-buru menghasilkan lagu baharu lain.

Katanya, buat masa ini biar Klangit Band fokus dahulu dengan urusan promosi lagu Aku Masih Di Sini hasil ciptaan Klangit Band dan Dark yang masih bergenre pop.

KLANGIT Band kini kembali dengan lagu baharu, Aku Masih Di Sini.
KLANGIT Band kini kembali dengan lagu baharu, Aku Masih Di Sini.

Sudah mengorak langkah dalam kerjaya muzik sekitar lapan tahun lalu, bagi Haris pengalaman itu banyak membantu Klangit Band untuk membina jenama karya mereka semula.

"Ditambah cara nyanyian Ary yang tetap dikait sama dengan penyanyi Indonesia membuatkan kami yakin ia juga adalah identiti Klangit Band. Bagi saya, kami perlu lebih berusaha lagi.

"Selain itu, kami juga tidak gentar untuk bersaing dengan penyanyi baharu kerana kehadiran semula Klangit Band sekurang-kurangnya dapat mewarnai industri muzik tempatan," katanya.

Sebelum ini, Klangit Band pernah popular dengan lagu Sesal Mendua dan Dia Lydia pada 2012 sebelum membuat keputusan menyepi dan Ary bergerak secara solo.

Hingga kini, video muzik rasmi lagu Aku Masih Di Sini yang dimuat naik di YouTube Rusa Music sekitar dua bulan lalu ditonton lebih 223,000 pelayar dengan mendapat komen positif daripada pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 6:20 AM