DATUK Seri Siti Nurhaliza dan Aishah. FOTO NSTP
DATUK Seri Siti Nurhaliza dan Aishah. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Teka teki siapa pengganti Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu terjawab apabila penyanyi terkenal, Aishah muncul mempersembahkan lagu itu pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) episod kedua, semalam.

Siti berkata, dia berterima kasih kepada penyanyi lagu Janji Manismu itu kerana sudi menyampaikan lagu itu.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Kak Aishah kerana sudi menyampaikan lagu ini. Tidak ada niat menyembunyikan atau berteka-teki, tetapi semuanya sudah dipersetujui terutama ketika pihak syarikat rakaman dan komposer, Ippo Hafiz belum lagi dapat menamakan atau mendapatkan penyanyi untuk lagu ini. Banyak proses dilalui dan alhamdulillah, dipermudahkan dan Kak Aishah tampil malam tadi. 

"Saya sebagai penyanyi menyokong anak-anak muda atau mana-mana komposer yang berkarya dan tentunya Anugerah Juara Lagu antara pentas buat mereka. Jika saya tidak menyanyikannya, karya mereka tetap dapat dipersembahkan, saya menghormati bakat sesiapa sahaja di dalam industri baik yang senior atau junior," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram, Siti turut mengimbau yang mana dia pernah menyanyikan lagu Aishah iaitu Camar Yang Pulang pada peringkat akhir Bintang HMI 1995.

"Sebelum ini saya yang menyanyikan lagu beliau dalam persembahan masa saya belum menjadi artis. Kemudian saya sampaikan lagu Camar Yang Pulang sewaktu bertanding Bintang HMI 1995. Kali ini, satu penghormatan buat saya apabila beliau menyanyikan lagu saya," katanya.

Video yang dimuat naik dengan memaparkan Siti ketika merakamkan lagu itu serta kad ucapan kepada Aishah itu mencecah tontonan lebih 200,000 dan mendapat lebih 600 komen.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 9:22 AM