FAIZAL,  Elly dan Zizi  berganding dalam lagu Empat Dara 2020.
FAIZAL, Elly dan Zizi berganding dalam lagu Empat Dara 2020.
Norhayati Nordin


KETIKA negara berdepan penularan Covid-19 yang belum reda, hiburan sedikit sebanyak membantu menyuntik kegembiraan di hati yang lara.

Sekalung tahniah buat komposer dan penyanyi berkaliber, Faizal Tahir kerana berjaya menghasilkan lagu Empat Dara 2020 yang melodi dan liriknya cukup mantap.

Malah, dalam tempoh satu minggu video muziknya dimuat naik di YouTube, lagu Empat Dara 2020 nyanyian trio Elly Mazlein, Faizal dan Zizi Kirana kini mencatat 'trending' nombor dua di platform YouTube Malaysia.

Apatah lagi, jumlah tontonannya juga sudah mencecah 4.5 juta dengan lebih 9,400 komen daripada pelayar yang rata-rata terhibur dan memberi sokongan sangat positif terhadap karya ini.

Ternyata gandingan Elly, Faizal dan Zizi menjadi kerana gabungan elemen muzik mereka pada genre lagu Empat Dara 2020 ini agak unik persembahannya.

Berbicara mengenai penghasilan lagu itu, ia umpama Faizal dan Zizi sudah sedia menyahut cabaran yang pernah dibuat Elly di media sosialnya.

Elly berkata, dia tidak menyangka cabaran yang dibuatnya berjaya menarik perhatian warganet, termasuk rakan selebriti yang menunjuk minat mahu menyanyikan semula lagu terbabit mengikut versi masing- masing.

"Ketika saya memuat naik potongan video pendek sewaktu menyanyikan lagu Empat Dara sekadar suka-suka dan hiburan kepada pengikut di Instagram. Namun, tak sangka pula tular.

"Saya sekadar buat cabaran untuk membuat orang gembira dan yakin sudah pasti setiap orang akan ada versi nyanyian mereka masing-masing yang lebih kreatif serta menghiburkan," katanya.

Menurut Elly, perhatian diterimanya untuk video pendek lagu Empat Dara sangat tak diduga. Dia tidak terfikir mendapat perhatian sehebat itu hingga tular.

Faizal pula menyifatkan kerjasama dan versi terbaharu lagu Empat Dara 2020 itu umpama menyahut cabaran daripada Elly.

"Dia (Elly) minta masuk, kita masuklah! Apapun, syukur dengan sambutan baik yang diberikan pendengar pada karya Empat Dara 2020 ini. Saya tak sangka dan terima kasih. Sokongan diberikan membuat saya bersemangat untuk terus berkarya. Seronok tengok orang gembira mendengarkan lagu Empat Dara 2020 ini," katanya

Bagi Zizi, dia terbabit dalam kerjasama berkenaan kerana mendapat tawaran daripada Faizal untuk mereka bertiga saling bekerjasama.

Terdahulu, Elly menjadi perhatian penonton dengan lakonannya dalam drama Kampung People 2 di TV3, begitu juga video pendek lagu Empat Dara yang dimuat naiknya di Instagram kini sudah mencatat hampir dua juta tontonan dengan lebih 200,000 komen ditulis warganet.

Lagu Empat Dara adalah karya asal Atan Ahmad dan Ahmad Jusoh, manakala untuk versi yang baharu ini, ia mendapat sentuhan bersama Faizal, Mage, Mike Chan dan Mambang.

Lagu Empat Dara 2020 kini sudah berada di semua pelantar muzik digital dan ia terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:14 AM