URIAH mahu tembusi pasaran China, Taiwan, Singapura.
URIAH mahu tembusi pasaran China, Taiwan, Singapura.
Georgie Joseph


RANCAK membina nama dalam pasaran muzik Inggeris dan Mandarin tempatan, Uriah See, 25, terus fokus memberikan karya muzik berkualiti.

Ia tidak mudah, tetapi dia percaya kejujuran dalam berkarya adalah asas terbaik bagi meningkatkan mutu seni.

Sebagai anak seni, Uriah berharap mesej yang disuntik dalam lagunya bukan kosong semata-mata, tetapi meninggalkan impak.

Baginya, dia mahu pendengar belajar sesuatu daripada mesej terbabit.

Justeru, tampil dengan single terbaharu berjudul One at a Time, dia menulis liriknya berdasarkan pengalaman sendiri.

Menurutnya, dia juga tidak terlepas daripada berdepan konflik emosi diri sepanjang bergelar artis.

"One at a Time berkisar mengenai pencarian hala tuju hidup yang pernah saya alami sendiri. Kita terlalu taasub dengan pandangan orang lain yang meletakkan harapan tinggi kepada kita untuk menjadi seperti apa mereka mahukan.

"Apabila kita tidak dapat memenuhi permintaan itu, mereka kecewa. Ia sebenarnya memberi kesan terhadap emosi diri kerana gagal melakukan sesuatu yang mereka harapkan. Ia membuatkan saya rasa tidak cukup bagus.

"Bukan itu saja, dalam hidup ini semua pasti pernah berdepan dengan permasalahan yang sangat menyakitkan. Terpulang kepada diri sendiri bagaimana menangani perasaan sebegitu jika tidak mahu terus menyiksa diri," katanya.

Uriah berkata, lagu itu sebenarnya bukan membawa mesej untuk patah semangat. Sebaliknya, bersikap optimis adalah inti pati sebenar yang mahu ditekankannya apabila berdepan situasi sebegitu.

"Pertaruhan sebegini memang jarang saya lakukan apatah lagi menulis perkara yang kira cukup berat dalam diri. Namun, saya mahu kongsikan bagaimana perjalanan untuk menukarnya kepada semangat positif.

"Untuk keluar dari permasalahan ini, kita kena optimis dalam mencari jawapan apa sebenarnya yang terbaik dalam hidup. Pengalaman itulah akan mendewasakan kita untuk lebih matang menangani cabaran hidup," katanya.

Dilamar bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa, Warner Music Malaysia baru-baru ini, Uriah bersyukur apabila kini terbabit dalam industri muzik arus perdana.

Baginya, peluang keemasan itu cukup berharga bagi membawa karier seninya pergi lebih jauh. Kini, dia menyimpan impian bekerjasama dengan artis luar negara selepas ini.

"Paling saya teruja adalah dapat bernaung di bawah syarikat sama dengan Ed Sheeran. Dia adalah artis yang sangat besar pengaruhnya dalam diri saya dan berharap dapat berjumpa atau bekerjasama dengannya.

"Apapun, memandangkan saya fokus kepada pasaran Mandarin, peluang untuk bekerjasama dengan penyanyi dari China, Taiwan dan Singapura adalah lebih besar. Antara yang saya benar-benar ingin bekerjasama adalah JJ Lim dari Singapura.

"Saya memang menaruh harapan tinggi dapat melakar nama dalam pasaran Mandarin Asia dan itu antara misi penting buat masa sekarang. Saya berharap lagu baharu saya, One at a Time juga dapat diperkenalkan di pentas antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Uriah juga berhasrat untuk menjadi artis tempatan yang mampu bersinar di pentas dunia.

Baginya, anak seni di Malaysia tidak kurang dari segi bakat dengan artis luar.

"Selain untuk diri sendiri, saya berharap akan ramai lagi anak seni tempatan mampu membina nama di luar. Tidak kisahlah penyanyi, pengarah filem, pengkarya kreatif dan lain-lain. Ramai sebenarnya yang berbakat besar dan bagus di negara kita.

"Lihat saja bagaimana artis hip hop dari China yang berjaya mencipta nama di Barat. Tidak mustahil artis kita juga mampu melakukannya dengan mengangkat lagi mutu seni ke tahap antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:15 AM