RISTEENA bersama tunangnya, Isa Khan.
RISTEENA bersama tunangnya, Isa Khan.
Georgie Joseph


PELAKON Risteena Munim, 31, akur dan reda apabila terpaksa menunda majlis pernikahannya dengan Isa Khan, 27, yang sepatutnya berlangsung, Jumaat lalu.

Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim binti Zainul Ilyas berkata, keputusan itu dibuat disebabkan dia mahu majlisnya tetap berlangsung di lokasi asal ditetapkan dan meminta Isa turut bersabar.

Bagaimanapun, Risteena enggan mendedahkan di mana lokasi mereka sepatutnya melangsungkan majlis pernikahan itu.

"Tempat itu sangat bermakna dan saya betul-betul nak adakan majlis pernikahan di situ juga. Sebenarnya Isa mencadangkan kami bernikah dulu di pejabat agama. Dia betul-betul nak menghalalkan hubungan ini supaya kami sudah boleh tinggal dan buat semua perkara bersama. Namun, saya masih ada harapan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini akan berakhir secepat mungkin," katanya.

Pelakon Girlfriend Kontrak itu juga mengakui perancangan asal mereka terkesan dan perlu mengusahakan perancangan baharu untuk majlis akan datang itu nanti.

"Kami sudah ada tarikh baharu namun belum bersedia untuk kongsinya. Bimbang nanti kena tangguh lagi. Ia memang memberi kesan apabila berlaku perubahan kerana semua terpaksa disusun semula. Banyak perkara perlu diambil kira," katanya.

Terdahulu, Isa mengumumkan sudah melamar Risteena pada 23 November tahun lalu sewaktu bercuti di Bali, Indonesia. Pasangan itu turut mengumumkan mereka bertunang pada tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:21 AM