TIZ ZAQYAH akur jalani penggambaran drama secara norma baharu.
TIZ ZAQYAH akur jalani penggambaran drama secara norma baharu.
Syafil Syazwan Jefri


MENJENGAH usia 32 tahun, pelakon, Tiz Zaqyah tidak menafikan sentiasa berdepan dengan persoalan mengenai perkahwinan dan rumah tangga.

Terbaharu, Tiz kini membintangi drama berjudul Isteri Misteri yang mengisahkan pasangan suami isteri berhadapan masalah rumah tangga, termasuk situasi poligami.

Ditanya mengenai poligami dan pendapatnya secara peribadi, Tiz menganggap apa juga yang berlaku berkaitan jodoh seseorang itu adalah ketentuan takdir.

"Apa yang boleh saya katakan, jodoh itu ketentuan Tuhan. Kadang-kadang, apa yang kita tak mahu, itulah yang akan kita dapat. Begitu juga sebaliknya," katanya.

Ditanya sama ada dia mampu menerima tanggungjawab sebagai isteri yang suaminya berpoligami jika ditakdirkan, Tiz belum mempunyai jawapan konkrit untuk diberi.

"Saya pun belum berumah tangga, jadi rasanya saya tak mampu memberikan jawapan yang tepat dan spesifik. Cuma, saya tak boleh bayangkan kalau ia berlaku kepada diri saya," katanya.

Ditanya mengenai drama bersiri hasil kerja sama antara Viu dan Primeworks itu, Tiz berkata, ia adalah satu karya yang ringan namun memiliki mesej tersendiri buat penonton.

"Poligami adalah satu isu yang berat. Jadi, kerana konsep drama ini adalah komedi dan juga romantik, isu itu dilembutkan atau diringankan buat paparan penonton," katanya.

Berkongsi mengenai proses penggambaran drama bersiri itu, Tiz tidak menafikan norma baharu menjadi pengalaman baharu buat dirinya sebagai pelakon.

"Saya terima tawaran ini kerana tertarik dengan barisan pelakon yang membintangi drama Isteri Misteri. Kebanyakan mereka adalah dalam kalangan rakan-rakan saya, termasuklah pengarah dan kru produksi.

"Dari segi penggambaran, banyak perbezaan yang saya rasakan berbanding sebelum ini kerana kita sekarang menjalani proses norma baharu," katanya.

Walaupun perlu mengikuti pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, itu tidak menjadi masalah buat Tiz.

"Sebagai pelakon, menjadi tanggungjawab kita untuk mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ini penting untuk memastikan tidak berlaku sebarang penularan wabak Covid-19 ketika sedang menjalani penggambaran.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan kini, drama Isteri Misteri akan mula ditayangkan di TV dan juga di platform Viu," katanya.

Selain Tiz, Isteri Misteri juga turut dibintangi barisan pelakon hebat lain antaranya Sharnaaz Ahmad, Azira Syafinaz, Sharifah Sakinah, Azar Azmi dan ramai lagi.

Sehubungan itu, Isteri Misteri adalah drama 10 episod yang ditayangkan pada setiap Rabu dan Khamis, jam 6 petang di TV3, manakala di platform Viu pula akan disiarkan pada jam 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:17 AM