DRAKE
DRAKE
Agensi

Los Angeles: Selepas deretan selebriti meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pencalonan Anugerah Grammy 2021, kini penyanyi Drake pula meluahkan pendapatnya yang mendakwa anugerah itu tidak lagi penting untuk memartabatkan seni muzik. 

Drake menerusi Instagram Story berkata, sudah tiba masanya untuk berhenti menerima kejutan demi kejutan setiap tahun dan mula menerima hakikat bahawa pengiktirafan tinggi (Anugerah Grammy) tidak lagi penting buat artis hari ini dan akan datang. 

Katanya, walaupun ia adalah anugerah berprestij, namun sikap dan mentaliti penganjur tidak dapat diubah.

"Ia umpama sesuatu yang kita semua harapkan supaya ada perubahan, namun mereka (penganjur) sendiri tidak mampu mengubah cara mereka bekerja," tulisnya.

Katanya, ini adalah masa yang tepat untuk artis dan pengkarya melakukan sesuatu yang baru dan boleh dimajukan tahun demi tahun serta diwarisi generasi akan datang.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menyokong kenyataan penyanyi, The Weeknd yang menganggap penilaian pencalonan Anugerah Grammy 2021 sebagai satu penilaian yang tidak telus.

Selain Drake dan The Weeknd, Justin Bieber dan Nicki Minaj juga turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap acara anugerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 11:32 AM