Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer terkenal, Tam Spider yang juga ahli Recording Performers Malaysia (RPM) mengakui sudah lima tahun tidak mendapat bayaran royalti daripada badan itu.

Tam berkata, dia hanya menerima bayaran royalti untuk tahun 2014 dan 2015 sebanyak RM7,000 kira-kira tiga bulan lalu.

"Untuk tahun 2016 sehingga tahun ini, tidak tahu bila pula akan dapat. Apa saya perasan dalam RPM ini, kalau ada pihak yang desak dan bising, baru mereka bayar. Kalau tidak, memang akan diam terus. Malah, jika ada pun, kadang-kadang mereka diamkan juga.

"Ketika ia dikawal Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) sebelum ini pun sama juga. Apabila RPM diwujudkan, konsepnya lebih kurang. Mereka ada buat kutipan, tapi tidak diagihkan kepada ahli mengikut waktu yang sepatutnya. Bayangkan, sewaktu ia dikendalikan PRISM, saya pernah mendapat bayaran royalti sebanyak RM200 ke RM300 sahaja setahun. Kalau ada keluhan baru dinaikkan sikit," katanya.

Tam berkata, isu royalti tidak sepatutnya timbul selain berharap siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyelesaikan kemelut yang melanda.

"Kita ada banyak persatuan pengkarya dan karyawan untuk mewakili penggiat seni, tapi seperti tak berfungsi. Bagi saya, isu ini tak patut timbul sebab ini hak anak seni dan harta intelektual. Saya tahu badan yang diwujudkan ini ada sistem, jadi ia patut berjalan lancar. 

"Apabila timbul isu ini, kita nak tahu saluran betul untuk suarakan hak. Memandangkan ini adalah hal belakang tabir, kalau boleh kita pun tak nak jadi isu besar. Jadi ia perlu diuruskan dalam keadaan baik.

"Namun, jika majoriti ahli bising, pasti ada sesuatu yang berlaku. Cumanya, apabila sudah sampai ke peringkat SPRM, saya berharap perkara ini akan selesai. Kasihan pada pemuzik lain yang berhempas pulas, tapi tak dibayar," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendesak Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid meletak jawatan berikutan kegagalannya menyelesaikan isu royalti artis.

Freddie berkata, Sheila sudah tujuh tahun menjawat jawatan itu, tetapi isu royalti belum ada kesudahan sehingga kini.

Kemudian, SPRM menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis kelmarin bagi memulakan siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Antara pejabat yang diserbu adalah Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 11:42 AM