DIVA AA. FOTO arkib NSTP
DIVA AA. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Walaupun belum diketahui siapakah gandingan Elly Mazlein untuk mengacarakan program Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2) Ahad ini, namun pengacara sensasi, Azwan Ali dikatakan akan tampil semula selepas berganding dengan Elly dalam dua episod sebelum ini.

Difahamkan, Azwan akan kembali ke program itu berikutan kebanyakan peminat mahukan Azwan yang berpengalaman dan penuh kontroversi itu dikekalkan sebagai pengacara.

Namun, Azwan atau mesra disapa Diva AA ketika dihubungi enggan mengulas kerana dia hanya menerima tawaran daripada TV3 untuk mengacara LCK2 bagi dua episod iaitu pada 8 dan 15 November lalu.

"Saya tak nak komen apa-apa kerana sebelum ini, saya pun hanya dimaklumkan muncul untuk dua episod sahaja dan ia bukan gimik," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, pada dua kemunculan Azwan mengemudi LCK2 bersama Elly, program realiti TV itu berjaya 'trending' di media sosial pada setiap minggu.

Rata-rata penonton dan warganet yang menonton program LCK2 sukakan gandingan Azwan dan Elly kerana masing-masing dilihat serasi dan sangat memberi impak kepada program itu.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif LCK2, Muhammad Sufian Che Isa ketika dihubungi berkata, sama ada Azwan muncul atau tidak, kena tunggu tayangannya Ahad ini.

"Nak tahu Azwan ada atau tidak, tunggu malam Ahad ini," katanya ringkas.

Katanya, mengikut konsep program LCK2, hanya Elly sahaja hos tetap dan dia yang akan bertukar pasangan pengacara. Malah,  kontrak Azwan memaklumkan dia hanya muncul untuk dua episod.

Bagaimanapun,  Muhammad Sufian tidak menafikan Azwan masih memiliki aura tersendiri yang mana kemunculan semulanya diterima baik penonton.

Azwan kembali semula mengacara di TV3 selepas 25 tahun 'menyepi' selepas kali terakhir mengacarakan Juara Lagu pada 1995.

 LCK2 yang mengetengahkan konsep 'jatuh cinta pada lagu pertama' diadaptasi dari siri TV popular Korea Selatan dikenali Love At First Song.

LCK2 yang ditayangkan setiap Ahad, jam 9 malam menampilkan tiga juri tetap iaitu Mas Idayu, Ajai dan Hael Husaini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 1:28 PM