AMERUL Affendi (kiri) dan Zain Hamid pamer lakonan bersahaja.
AMERUL Affendi (kiri) dan Zain Hamid pamer lakonan bersahaja.
Riadz Radzi


Sebaik menerima siaran media filem Bikin Filem daripada Astro First, terus terngiang-ngiang lagu Bikin Filem, nyanyian Datuk M Nasir daripada album Saudagar Mimpi pada 1992.

Lagu ciptaan M Nasir dan lirik oleh Nasir Jani itu secara sinikal memperkatakan mengenai industri filem tempatan ketika itu (dan mungkin relevan lagi buat masa sekarang).

Ia menunjukkan sesiapa saja boleh menerbit, mengarah filem atau menjadi pelakon walaupun tidak ada ilmu dan bakat.

Sedikit-sebanyak inilah yang ditampilkan dalam filem arahan Latiff Zami atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Mohd Yeop Hitler.

Secara ringkasnya, Bikin Filem memaparkan realiti di sebalik pembikinan sesebuah filem. Apa yang sebenarnya berlaku dalam produksi filem tempatan, ada dalam filem ini.

Bikin Filem mengisahkan seorang bintang filem terkenal dengan gosip-gosip liar, Khaty (lakonan Sherry Alhadad) yang ingin menerbitkan sebuah filem berjudul Dendam Berbalas selepas dia diceraikan suaminya, Datuk Ngah Harun (Roy Azman) yang mahu berkahwin dengan Datin Azizah (Erra Fazira).

Hasil wang 'pampasan' daripada Datuk Ngah sebanyak RM2

juta, Khaty menerbitkan filem berkenaan yang diarahkan Rahim G (Azhan Rani). Bagaimanapun, Rahim tidak puas hati dengan skripnya dan dia menghasilkan filem itu ikut caranya sendiri.

Itulah jalan ceritanya. Ia agak ringkas kerana apa yang mahu disampaikan oleh Latiff yang juga penulis skrip Bikin Filem ialah mengenai apa yang selalunya berlaku dalam pembikinan sesebuah filem.

Babak Rahim tidak menyukai skrip filem itu dan menghasilkan filem mengikut caranya sendiri memang kerap berlaku dalam produksi filem atau drama di sini. Ia selalunya menimbulkan konflik di antara pengarah dan penulis skrip.

SHERRY berjaya bawa watak utama dengan berkesan.
SHERRY berjaya bawa watak utama dengan berkesan.

Penulis skrip menggambarkan sesuatu babak itu begini, tapi apabila sampai kepada pengarah, ia jadi lain. Inilah yang digambarkan watak penulis skrip terbabit bengang dengan Rahim kerana 'mencincang' skripnya.

Secara peribadi, Bikin Filem sebenarnya menghiburkan. Mesej mengenai apa yang berlaku di sebalik pembikinan filem berjaya disampaikan dengan baik oleh Latiff dan pelakon-pelakonnya.

Setiap babak di balik tabir, cara bekerja dan karakter penerbit, pelakon, pengarah, penolong pengarah, pengarah fotografi, pengurus produksi, pengarah seni, 'konti girl' (kesinambungan), kru dan budak bancuh air (handyman) di set penggambaran hampir 100 peratus sama seperti apa yang sebenarnya berlaku.

Saya suka dengan watak penolong pengarah yang dibawa Amerul Affendi dan Azhar Sulaiman sebagai pengarah seni. Mereka berjaya 'mengeluarkan' watak dan cara bekerja seorang penolong pengarah dan pengarah seni itu.

Saya percaya sesiapa yang pernah mengikuti penggambaran sesebuah filem atau drama tempatan akan lebih memahami filem ini.

Begitu dengan watak yang dibawakan Zain Hamid sebagai pengarah fotografi atau jurukamera.

Entah kenapa saya selalu merasakan pengarah fotografi biasanya seorang yang 'cool' dan tidak cakap banyak ketika di lokasi. Dan, itulah yang ada dalam Zain. Begitu juga dengan babak dia memarahi 'konti girl' (kesinambungan). Gadis itu yang memintanya merakamkan 'clapperboard' untuk 'shot' seterusnya dimarahi kerana mengganggunya yang ketika itu sedang membetulkan fokus kameranya.

BARISAN pelakon Bikin Filem
BARISAN pelakon Bikin Filem

Tak salah saya, jurukamera memarahi 'konti' kerana situasi itu adalah perkara biasa di set penggambaran.

Babak paling menarik ialah apabila mereka menggunakan khidmat bomoh hujan yang dilakonkan Kamarool Hj Yusoff.

Keadaan cuaca adalah perkara paling penting buat produksi filem yang sememangnya mengejar masa. Malah, ada yang sanggup menggunakan khidmat bomoh hujan walaupun mereka sedar dia tidak berkemampuan langsung untuk menghalang hujan. Percaya atau tidak, ini memang berlaku dalam sesetengah produksi filem.

Di sebalik gambaran kisah sebenar di sebalik pembikinan filem dan telatah pasukan produksi, Bikin Filem sebenarnya secara tidak langsung menyindir industri filem Melayu terutama membabitkan pemilihan pelakon yang asal boleh atau stereotaip.

Ia juga menampilkan sikap segelintir penerbit yang tidak tahu apa-apa mengenai filem, tetapi mahu menghasilkan filem kerana dia mempunyai wang.

Namun, walaupun

Bikin Filem berjaya menghiburkan saya, tetapi saya ralat kerana durasinya terlalu pendek iaitu cuma 1 jam 10 minit.

Dengan dibarisi pelakon-pelakon dikenali, saya rasa ia boleh dikembangkan lagi. Contohnya watak Scha Alyahya sebagai pelakon baharu yang terlalu sedikit. Mungkin boleh dikembangkan mengenai hubungannya dengan penolong pengarah yang hanya ditampilkan di akhir filem.

Apapun, pada pandangan saya, Bikin Filem tetap filem

yang berjaya. Selain konsep ceritanya, kekuat

an filem ini adalah kepada barisan pelakonnya. Lakonan mereka santai dan bersahaja walaupun hanya terbabit dalam beberapa babak.

  • FILEM: Bikin Filem

  • PENGARAH: Mohd Yeop Hitler @ Latiff Zami

  • PELAKON: Sherry Alhadad, Azhan Rani, Amerul Affendi, Mark Adam, Azrel Ismail, Sharifah Sakinah, Zain Hamid, Yusuf Hashim, Scha Alyahya, Azhar Sulaiman, Jasmin Hamid, Erra Fazira, Roy Azman, Syazwan Zulkifly, Kodi Rasheed dan Kamarool Hj Yusoff

  • TERBITAN: Empire Film Solution

  • TAYANGAN: Astro First

  • ULASAN: Riadz Radzi
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 6:23 AM