NAM Ron belum pernah dapat tawaran berlakon filem cinta.
NAM Ron belum pernah dapat tawaran berlakon filem cinta.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI sukar untuk kita melihat lakonan Nam Ron dalam filem berkonsep komersial yang mementingkan rupa paras kacak dan tubuh badan yang sasa.

Namun, rezeki pelakon yang nama sebenarnya, Shahili Abdan ini tetap ada apabila sering menjadi pilihan produksi yang memilih menampilkan 'seni' dalam produk terbitan mereka.

Bakat seni sejati pelakon dari Perlis ini dibuktikan menerusi lakonannya dalam filem One Two Jaga arahannya sendiri yang meraih kemenangan besar di Festival Filem Malaysia ke-30 dan Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 apabila berjaya memenangi trofi Pengarah Terbaik.

Nam Ron, 51 berkata, dia belum pernah dihubungi oleh mana-mana produksi yang menawarkan berlakon filem genre cinta.

"Alhamdulillah, pada umur sekarang saya masih diberi peluang bawa watak utama dalam filem. Ia atas sebab kesesuaian karakter itu dengan lakonan saya.

"Tapi memang belum pernah berlaku, tiba-tiba penerbit tawarkan saya berlakon filem cinta dan jadi 'leading'. Itu memang tak logiklah.

"Tapi saya ditawarkan watak yang sesuai dengan umur dan setakat ini memang tiada masalah untuk saya terima. Kalau ada skrip yang begitu, ada la saya. Kalau tak, tiadalah," katanya.

Selain filem One Two Jaga, Nam Ron pernah tampil dalam beberapa filem lain seperti Paloh, Histeria, Gubra, Aku Tak Bodoh, Roh, Redha dan Mencari Rahmat.

Nam Ron berkata, dia mula serius dalam filem sejak 2010 dan pembabitannya kini baru sekitar 10 tahun atau sedekad.

NAM Ron mula serius berlakon filem sejak 2010.
NAM Ron mula serius berlakon filem sejak 2010.

"Baru 10 tahun, saya betul-betul sepenuh masa dalam industri. Sebelum itu hanya separuh masa dan saya hanya berlakon satu filem setahun. Ia tak menjadi satu kerjaya.

"Sekarang dah jadi satu kerjaya. Jadi, tak adalah rasa tersisih sangat dalam seni. Saya mula dikenali sepenuhnya sejak 2016.

"Saya pun tak memilih watak. Cuma, saya hanya akan persoalkan jika tidak sesuai. Kadang-kadang, saya dapat watak yang macam dah tak kena dan itu pasti jadi sebab saya tolak," katanya.

Bercerita mengenai filem Mencari Rahmat, dia yang kini bergelar pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), masih menanti tarikh baharu tayangan di pawagam.

"Ia sepatutnya ditayangkan pada 18 Jun lalu, tapi ditunda kepada 31 Disember ini. Namun, sekali lagi terpaksa ditunda kepada tarikh lain pula.

"Saya bawa watak Razak dan karakternya belum pernah dilakonkan sebelum ini. Naskhah berkenaan bawa konsep sindiran dalam jenaka.

"Kekuatan pelakon ditagih dalam filem ini untuk menyampaikan jalan cerita. Asalnya karya itu dipersembahkan di pentas teater, sebelum diangkat ke layar perak," katanya.

Filem Mencari Rahmat diarahkan oleh Al Jafree Md Yusop. Ia diilhamkan daripada naskhah The Importance Of Being Earnest tulisan Oscar Wilde.

Pelakon lain yang terbabit dalam filem ini ialah Amerul Affendi, Adibah Noor, Nadia Aqilah, Fauziah Nawi, Azman Hassan, Eric Fuzi dan Sharifah Amani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:49 AM