DWAYNE Douglas Johnson. FOTO dr IG The Rock
DWAYNE Douglas Johnson. FOTO dr IG The Rock
Syafil Syazwan Jefri


BINTANG Hollywood, The Rock mengimbau zaman mudanya sebelum bergelar artis apabila dirinya diabadikan dalam bentuk belon gas di Macy's Thanksgiving Parade sempena Hari Thanksgiving baru-baru ini.

Menerusi Instagramnya, The Rock atau nama sebenarnya Dwayne Douglas Johnson berkongsi video kemeriahan sambutan itu yang mana, belon gas itu dihasilkan dalam bentuk dirinya berdasarkan foto ikoniknya.

"Saya tak pernah termimpikannya. Saya sangat bertuah kerana pernah melakukan pelbagai perkara dalam karier saya. Namun, selepas melihat belon 'fanny pack float' sempena Young Rock (sitkom terbaru di NBC), ia mengatasi segala-galanya," tulisnya.

Tambah pelakon berusia 48 tahun itu lagi, dia juga tidak pernah melupakan saat-saat kehidupannya, ketika foto itu diambil.

"Pada ketika itu, saya cuma ada USD7 (RM28.49) sahaja dalam beg pinggang saya itu, namun, sekurang-kurangnya saya  masih nampak bergaya dengan baju 'turtleneck' yang diselit masuk ke dalam seluar serta barang kemas perak tiruan.

"Begitu juga dengan kening terangkat saya yang ditata rapi serta mampu menjadi impian (dan mimpi ngeri). Anak-anak, terbanglah. Kamu mungkin akan berjaya suatu hari nanti," tulisnya.

Belon gas itu dihasilkan dengan menggunakan 50,000 kaki padu gas helium dan menampilkan bentuk The Rock berdasarkan foto yang diambil pada tahun 1990-an.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 9:31 AM