MASIH aktif penuhi undangan menyanyi, kini tampil dengan lagu baharu Rindu Selamanya.
MASIH aktif penuhi undangan menyanyi, kini tampil dengan lagu baharu Rindu Selamanya.
Ridzuan Abdul Rahman


DIAKUI artis datang dan pergi, namun mereka yang terbaik pasti kekal bertahan biarpun disaing hebat oleh generasi baharu.

Hingga kini, masih ramai penyanyi hujung era 1980-an yang pernah mengecap populariti pada zaman mereka, aktif menyanyi dan kekal diminati seperti Ibnor Riza.

Ibnor, 59, atau nama sebenarnya Ibnor Riza Ibarahim yang bergelar artis rakaman sejak 1986, tidak pernah duduk diam kerana sentiasa memenuhi undangan nyanyian.

"Alhamdulillah, saya masih aktif buat persembahan macam biasa. Cuma, sejak pandemik Covid-19 ini buat saya agak kurang menjelajah ke seluruh negara.

"Namun saya bersyukur kerana masih lagi diberi peluang membuat persembahan di majlis tertutup dengan dikenakan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

"Sekarang, setiap Jumaat hingga Ahad, saya dan rakan seangkatan seperti Shidee, Hail Amir dan Razis Ismail diberi peluang buat persembahan berkonsep Artis Retro di restoran D Empangan Udang Galah Putrajaya, di samping dua artis kelahiran realiti TV iaitu Seri Sarimah dan Ismaliza Ismail," katanya.

IBNOR popular dengan lagu ciptaan Adam Ahmad dan Adnan Abu Hassan.
IBNOR popular dengan lagu ciptaan Adam Ahmad dan Adnan Abu Hassan.

Ibnor yang mempunyai deretan lagu popular antaranya Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Sudah terluka Merindu Pula, Mimpi Yang Tak Sudah dan Takdir, kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Rindu Selamanya ciptaan Wan Dilhanaridz dan lirik MN Fridaus.

"Tujuan saya hasilkan lagu baharu ini kerana pertamanya untuk peminat yang merindui lagu terkini daripada saya. Keduanya, saya nak cuba angkat semula irama lagu 70, 80 dan 90-an yang kian pupus dek arus muzik terkini.

"Dulu saya popular dengan lagu ciptaan Allahyarham Adam Ahmad dan penerbit Allahyarham Adnan Abu Hassan.

"Sekarang saya bekerja dengan komposer baharu, tapi cenderung dengan lagu-lagu era terdahulu. Usianya 33 tahun dan ketika lagu Meneka Dalam Kesamaran popular, dia baharu lahir," katanya.

Ibnor berkata, kerjasama mereka berlaku tanpa dirancang ketika dia mahu menghasilkan minus one di studio milik Wan Dilhanaridz di Ukay Perdana.

HADIR dengan single Rindu Selamanya bagi mengubati kerinduan peminat.
HADIR dengan single Rindu Selamanya bagi mengubati kerinduan peminat.

"Dia tanya saya, tak nak rakam lagu lagikah? saya kata dah malas kerana saya tak jumpa melodi yang macam zaman saya dulu.

"Bagi saya, lagu baharu sekarang kurang masuk ke jiwa peminat untuk jangkamasa yang lama. Namun, katanya dia ada lagu yang mungkin sesuai untuk saya nyanyikan.

"Saya minta dengar dan terus berminat. Melodinya menarik kerana Wan Dilhanaridz memang peminat setia lagu-lagu retro. Dalam masa sama, dia juga mencipta lagu-lagu era masa kini," katanya.

Wan Dilhanaridz mencipta dua lagu untuk Ibnor, tetapi lagu kedua masih dalam peringkat 'mixing'.

"Saya memang menyukai lagu yang membelai jiwa, lirik yang puitis dan penulisan penuh santun untuk disesuaikan dengan melodi.

"Bagi saya, penulisan lirik juga memainkan peranan untuk membentuk keperibadian dalam percakapan harian.

"Apapun saya ingin menyampaikan mesej yang baik melalui nyanyian saya, di samping menghibur hati orang ramai," katanya.

Ibnor, bagaimanapun mengakui dia tidak menolak arus muzik moden tetapi baginya, hala tuju muzik sekarang amat jauh tersasar dari cita rasa masyarakat Melayu Malaysia.

"Selain sering disogokkan dengan lagu-lagu dari luar, kita semakin hilang hala tuju memartabatkan irama muzik acuan kita.

"Bila kita cuba ketengahkan irama lagu ini, mereka kata lagu ini dah ketinggalan zaman. Padahal, mereka tak tahu itulah khazanah kita yang wajar dipelihara daripada pupus ditelan zaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:11 AM