CHER selamatkan gajah paling sunyi di dunia.
CHER selamatkan gajah paling sunyi di dunia.
Agensi

Islamabad: Penyanyi Cher, 74, menyelamatkan gajah paling sunyi di dunia, Kaavan selepas empat tahun memperjuangkan supaya haiwan itu dibawa ke pusat perlindungan.

Kaavan yang juga satu-satunya gajah Asia di Zoo Marghazar, di sini, bakal dibawa ke sebuah pusat perlindungan hidupan liar di Kemboja.

Cher turut bertemu Kaavan sebelum haiwan itu dibawa dalam satu sesi yang sangat menyentuh hati. Kejayaaan itu membuatkan penyanyi itu sangat bersyukur.

"Doa saya akhirnya menjadi kenyataan. Kami sudah lama menantikan saat ini untuk akhirnya menyaksikan Kaavan dibawa keluar dari zoo ini dan terus bersama kita," katanya.

Kaavan yang turut mengalami masalah berat berlebihan dan kurang nutrisi kehilangan pasangan gajahnya pada 2012 di zoo itu. Kaavan juga turut dilaporkan mengalami masalah sikap.

Terdahulu, corak penjagaan terhadapnya yang sangat teruk di zoo terbabit membangkitkan kemarahan ramai pencinta haiwan termasuk Cher. Dia turut wujudkan kempen Free The Wild bagi membela Kaavan.

Keadaan Kaavan dalam keadaan menyayat hati di zoo itu menyebabkan seorang hakim mengarahkan semua haiwan di situ dipindahkan.

Pada Mei lalu, Mahkamah Tinggi Pakistan mengarahkan zoo itu ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 12:02 PM