ANUAR lebih selesa menyanyikan lagu ciptaan sendiri yang lahir dari hati.
ANUAR lebih selesa menyanyikan lagu ciptaan sendiri yang lahir dari hati.
Ridzuan Abdul Rahman

SINGLE Terbang Melayang yang dilancarkan dua tahun lalu menjadi langkah pertama Anuar Hamizan, 24, melangkah masuk ke bidang nyanyian.

Walaupun mendapat sambutan sederhana dengan sekitar 32,000 tontonan di YouTube, anak muda kelahiran Perlis ini tetap berpuas hati.

Anuar atau nama sebenarnya Anuar Hamizan Mat Alin tidak kecewa dan bersikap positif dengan pengalaman pertamanya.

"Sebagai orang baharu, sememangnya saya belum dikenali. Itu faktor lagu ini mendapat sambutan yang sederhana. Namun, saya puas hati kerana impian bergelar penyanyi akhirnya tercapai.

"Saya mula menyanyi seawal usia lapan tahun lagi dan sering tampil atas pentas sekolah menyanyikan lagu nasyid, melaungkan azan dan tak terkecuali sertai pertandingan nyanyian yang dianjurkan di peringkat sekolah mahupun di peringkat negeri," katanya.

Anuar yang mula mencipta lagu dan menulis lirik pada usia 14 tahun bersama sahabatnya Arif Iskandar sehingga ke hari ini gembira kerana hasil karya mereka kini dimainkan di radio dan ditayangkan di televisyen.

"Bermula di pentas jalanan akhirnya lagu Terbang Melayang dikeluarkan di bawah naungan Asia Empire Records. Alhamdulillah, dari sini bermulalah perjalanan saya sebagai anak seni di dalam industri muzik tanah air.

"Saya amat berterima kasih kepada Asia Empire Records kerana memberi ruang kepada saya sebagai artis naungan mereka," katanya.

Anuar kini tampil dengan single kedua berjudul Tak Pernah Tua hasil ciptaannya sepenuhnya yang boleh didapati menerusi platform digital. Muzik video pula sudah dimuat naik di YouTube.

"Struktur muzik dan susunan lagu juga oleh saya sendiri dengan kerjasama Anep dan Alan OTwo selaku penerbit. Manakala susunan bunyian string oleh Rudy Nastia. Rakaman dibuat di studio Asia Empire Studio dan proses adunan bunyi oleh Anep OTwo.

"Saya memang selesa dengan hasil karya sendiri kerana apa yang saya buat sentiasa dari hati dan saya akan pastikan kualiti semasa 'live' sama seperti rakaman," katanya.

Menurutnya, dia berpegang pada prinsip ukur baju di badan sendiri tanpa terlalu berlebihan.

"Saya takut waktu menyanyi 'live' nanti tak mampu nak bawa sama macam semasa rakaman. Itu akan memalukan saya. Namun, kalau ada pihak yang ingin saya menyanyikan hasil karya mereka, insya-Allah saya sentiasa terbuka hati.

"Apapun saya akan sentiasa menghasilkan karya-karya yang berkualiti demi memartabatkan industri seni tanah air," katanya yang kini dalam proses merakamkan enam lagu untuk album penuh.

Penggambaran video muzik Tak Pernah Tua dibuat di beberapa tempat menarik di Perlis di bawah arahan Anuar sendiri menerusi syarikatnya Kayangan Production.

Dalam pada itu, Anuar gembira kerana diberi peluang oleh Zeel Production untuk berlakon sejak pertengahan tahun lalu.

"Alhamdulillah, rezeki saya diberi watak dalam drama pertama iaitu Rindu Yang Terlarang dan yang terbaharu Dayang Senandung belum ditayangkan kepada penonton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:20 AM