FOTO dimuat naik Azhan bersama Ali Puteh di IG, baru- baru ini. FOTO IG Azhan Rani
FOTO dimuat naik Azhan bersama Ali Puteh di IG, baru- baru ini. FOTO IG Azhan Rani
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Azhan Rani, tidak gentar kehilangan pengikut di media sosial seperti Instagram (IG) dan Facebook kerana dia tidak memerlukan individu yang 'toxic' berada dialam akaunnya.

Azhan berkata ia berikutan dia tidak meminta-minta dirinya diikuti di  media sosial dan pernah  juga menutup akaun IG dan Facebook sebelum ini pada ketika jumlah pengikutnya ramai.

"Soal pengikut di media sosial saya akan kurang atau tidak, sejujurnya saya tak pernah meminta-minta diikuti oleh warganet. Ini kerana, akaun IG saya lebih kepada perkongsian rakaman dan galeri aktiviti bagi  promosi kerjaya seni. 

"Terus-terang, saya selalu saja sekat mereka (pengikut) yang terlalu 'toxic' dalam akaun IG saya. Namun, saya tetap syukur kerana IG saya susah nak jumpa scammer, orang berniaga pil kurus, pengumpul wang lama atau mereka yang membuat kandungan lucah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azhan, dia pantang melihat perkongsian perkara bukan-bukan di IG akaunnya termasuk Facebook. Ujarnya, kalau dia ternampak memang terus disekat kerana tidak mahu berbangga mempuyai jumlah pengikut 'toksid' yang ramai.

"Saya tak mahu pengikut yang toksid. Bagi saya, tak ada apa yang perlu dibanggakan pun sekiranya ramai yang mengikuti saya di IG atau Facebook itu adalah golongan toksid.

'Kalau berminat nak tahu mengenai saya jadilah pengikut ikhlas, tapi jika tidak berminat boleh sahaja 'unfollow'. Ditambah, kerjaya saya adalah pertaruhan utama perkongsian di media sosial dan bukan kisah peribadi," katanya. 

Menurut Azhan yang dikenali dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 berkata dia percaya hasil kerja yang baik akan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat. Bahkan, jelasnya kalau ingin dihormati orang maka, kita juga perlu menghormati orang lain terlebih dulu.

Baru-baru ini, Azhan tampil menegur tindakan segelintir pengikutnya yang meninggalkan komen tidak sopan dan berbaur negatif selepas dia memuat naik foto bersama pelawak Ali Puteh di IG kerana mereka terbabit membintangi satu drama.

Azhan yang kurang selesa dengan tindakan pengikutnya menyelar sikap segelintir mereka (warganet) yang dianggap sebagai toksid dan meminta supaya tidak mencampuri urusan peribadi orang lain selain menyokong kerjaya sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 10:14 AM