MOHD FAKHRUL RADHI
MOHD FAKHRUL RADHI
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Anggota kumpulan UNIC, Mohd Fakhrul Radhi selamat menjalani pembedahan sinus di sebuah pusat perubatan di Kelana Jaya, semalam.

Fakhrul berkata, dia mempunyai sinus teruk dan terdapat kahak dalam rongga hidung sehingga mengakibatkan hidung selalu tersumbat dan sukar bernafas.

"Saya sudah lama ada sinus, tapi sejak setahun lalu ia semakin teruk. Jadi, saya ambil keputusan untuk berjumpa doktor dan dinasihati menjalani pembedahan. Alhamdulillah, pembedahan semalam berjalan lancar.

"Saya ada tengok pembedahan sinus dijalankan di YouTube. Agak ngeri juga. Mujurlah sewatu pembedahan pesakit diberi bius dan pengsan. Sedar saja semuanya sudah siap. Sekarang saya dalam proses sembuh. Cuma, semalam hidung berdarah jadi doktor letakkan kain khas dalam hidung. Sejak semalam juga kena bernafas ikut mulut. Boleh lemas dibuatnya," katanya.

Fakhrul berharap luka segera sembuh dan kain dalam hidung atau 'packing' itu boleh dikeluarkan bagi membolehkan dia bernafas seperti biasa.

"Saya saja nak kongsi pada semua akan kebesaran Allah yang menciptakan kita. Syukur banyak-banyak Allah bagi kita bernafas. Doakan saya," katanya.

End

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 11:57 AM