Ellen Page.
Ellen Page.
Agensi

Rentetan pendedahan pelakon Ellen Page yang kini mahu dikenali sebagai Elliot Page selepas menukar jantina menjadi seorang lelaki ternyata mendapat perhatian meluas. 

Hakikatnya, nama Page tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia antara pelakon gred A yang aktif membina nama di Hollywood selepas membuat kemunculan di TV dan filem Kanada.

Kerjaya Page bermula sejak berusia 10 tahun dengan membintangi siri televisyen berjudul Pit Pony selama empat tahun sehingga tahun 2000.

Sejak itu, Page aktif sebagai pelakon drama atau filem. Kali pertama dia membintangi filem berjudul Marion Bridge pada 2002.

Namun, filem itu sekadar memperkenalkan dirinya dalam dunia perfileman di Kanada saja. Bagaimanapun dia mula dikenali secara meluas selepas membintangi filem Hollywood berjudul Hard Candy pada 2005. 

Penampilan Page dalam filem itu berjaya membuatkan popularitinya melonjak naik sehingga ditawarkan peranan utama dalam filem bergenre drama komedi berjudul Juno pada 2007. 

Menerusi kejayaan filem itu, Page berjaya tercalon sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam beberapa majlis penganugerahan seperti Academy Awards, BAFTA Awards dan Golden Globe.

Tidak terhenti di situ, namanya terus dijulang selepas membintangi filem X-Men sebagai Kitty Pryde. Page pertama kali tampil dalam sekuel X-Men: The Last Stand (2006) dan X-Men: Days of Future Past (2014).

Page juga sempat membintangi filem Inception karya Christopher Nolan. Dalam filem itu dia bergandingan dengan pelakon ternama seperti Leonardo DiCaprio dan Joseph Gordon-Levitt.

Malangnya, sejak itu karier Page seperti tenggelam dan kurang didengari. Namun namanya kembali naik selepas membintangi siri The Umbrella Academy pada 2019 yang masih ditayang di saluran Netflix. 

Peranan yang dibawakan Page dalam siri terbabit sangat berat kerana antara tunjang utama kepada jalan cerita siri itu. Apa yang unik, dalam siri itu, ia mengisahkan dirinya menyukai seorang wanita, sama seperti orientasi seksnya di dunia nyata. 

Sebelum mendedahkan dirinya kini seorang transgender, Page pernah memaklumkan dirinya adalah seorang gay pada 2014 dan berkahwin dengan seorang penari bernama Emma Portner.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 4:40 PM