Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Setakat ini dia okay dan tidak ada apa-apa, cuma terdapat prosedur hospital dia perlu ikut. Dia cakap sudah bersedia bila-bila masa saja untuk menjalani pembedahan," kata isteri pelakon, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman iaitu Relawati Daud mengenai keadaan suaminya.

Bob, 56, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Selasa lalu bagi menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD).

Relawati, 42, ketika dihubungi berkata, dia masih belum mendapat sebarang maklumat dari pihak hospital berkenaan pembedahan yang sepatutnya dibuat semalam.

"Kalau ikutkan pembedahannya semalam, tapi saya tidak dapat apa-apa maklumat lagi. Saya hanya menunggu pihak hospital hubungi untuk sebarang perkembangan semasa. 

"Mereka hanya cakap tunggu maklumat daripada mereka. Kalau saya menghubungi hospital pun memang tak berjawab. Nak masuk dan jumpa lagilah tak boleh. 

"Selalunya pihak hospital akan maklumkan terlebih dahulu kalau nak buat pembedahan dan saya akan dipanggil, tapi apabila masih tidak ada apa-apa maklumat, risaulah juga sebab saya menunggu saja," katanya.

Relawati bersama dua anak yang kini menumpang di rumah kawan Bob di Alor Setar berkata, suaminya sentiasa berpesan supaya menjaga diri dan anak-anak.

"Alhamdulillah, saya ada adik-beradik, keluarga, keluarga mentua, anak-anak, kawan-kawan Abang Bob yang sentiasa memberikan semangat. Dia juga sentiasa ingatkan saya supaya bersabar. Dia pun selalu keluar masuk hospital, tapi ini yang paling teruk. 

"Kalau nak cakap lemah semangat, memang lemah semangat. Tapi saya cuba positif, sebab semua ini daripada Allah dan kita tak tahu nak terjadi perkara sebegini. Cuma, dia selalu sentiasa menjaga diri, anak-anak dan ingat sentiasa doakan dia," katanya.

Dalam masa sama, Relawati mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberikan sumbangan untuk kos pembedahan suaminya yang dianggarkan RM60,000.

"Saya mahu berterima kasih sangat sama ada yang kenal atau tidak, dalam negara atau luar negara, yang banyak bagi sumbangan, sokongan moral, semangat dan bantu kami. Tidak tahu nak balas macam mana. Hanya Allah yang dapat balas jasa mereka. Doakan juga semoga Abang Bob cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan.

"Daripada makluman badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muslim Care Malaysia, dana sudah mencukupi. Cuma kos rawatan sebenar dari hospital belum tahu lagi," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Bob memerlukan bantuan kewangan RM60,000 bagi membolehkan dia menjalani pembedahan jantung dengan segera.

Dalam tempoh dua hari jumlah diperlukan itu dapat dikumpul daripada hasil sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak.

Bob memaklumkan, kos ubat-ubatannya setiap bulan mencecah RM700 dan bersyukur masih ada rakan-rakan, pihak berkaitan dan NGO seperti Muslim Care Malaysia menghulurkan bantuan.

Menurut Bob, bagi menyara keluarga ketika ini dia bergantung kepada pendapatan hasil jualan tempahan makanan yang disediakan isterinya.

Berita berkaitan

  • 'Saya boleh mati 'anytime' – Bob Lokman

  • Bantulah Bob Lokman

  • 'Kali ini rasa 'lain macam' sikit' – Bob Lokman

  • Bob Lokman jalani pembedahan hari ini
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 12:32 PM