SAZALI P Ramlee bersama isterinya, Aminah Hitam. FOTO Hazreen Mohamad
SAZALI P Ramlee bersama isterinya, Aminah Hitam. FOTO Hazreen Mohamad
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 62, terharu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri sudi meluangkan masa menziarahinya yang kini dalam keadaan kurang sihat, semalam. 

Sazali berkata, banyak perkara dikongsikan kepada Zulkifli termasuklah masalah kewangan dan penyakit yang dihidapinya selepas terbabit dalam kemalangan pada Disember tahun lalu. 

"Syukur, masih ada pihak yang menyayangi dan mengambil berat mengenai keadaan diri saya dan isteri. Pertemuan bersama Zulkifli petang semalam berlangsung sekejap saja kerana keadaan diri saya yang kurang mengizinkan. Seluruh badan saya sakit-sakit hingga menyukarkan saya untuk bergerak.

"Namun, sempat jugalah dia bertanyakan mengenai keadaan dan kehidupan saya sekarang. Beliau ada memaklumkan sekiranya saya perlukan bantuan lain dia minta maklumkan. Setakat ini saya menampung kehidupan dengan bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350," katanya. 

Menurut Sazali, mereka turut berbual mengenai keperibadian arwah bapanya yang dikagumi ramai. 

"Pada pertemuan itu juga saya ada berkongsi mengenai jumlah royalti yang diterima bulan lalu merosot sebanyak 90 peratus sedangkan wang terbabit digunakan untuk menampung kehidupan dia dan isteri. 

"Bagaimanapun, kami ada juga berborak mengenai arwah ayah. Saya beritahu arwah seorang yang baik dan handal berlakon. Malah Zulkifli juga bersyukur apabila dapat berjumpa anak P Ramlee walaupun tidak berpeluang bertemu arwah bapanya," katanya. 

Menurut Sazali, sejak kehadiran Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid di kediamannya di Semenyih sempena program Ziarah FINAS Prihatin 2.0, Rabu lalu, dia menerima kehadiran tetamu daripada pelbagai pihak. 

"Rasanya setakat semalam sudah ada lima tetamu yang datang ziarah dan bertanyakan mengenai keadaan diri saya. Saya harap pertolongan dan bantuan mereka dapat meringankan beban saya dan isteri untuk meneruskan kehidupan," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 3:46 PM