KHAI dan Aina sudah lama merancang untuk berkolaborasi.
KHAI dan Aina sudah lama merancang untuk berkolaborasi.
Sudirman Mohd Tahir

 

 

Kuala Lumpur: Harapan untuk menyaksikan dua penyanyi popular, Khai Bahar dan Siti Nordiana kembali berduet nampaknya masih belum kesampaian.

 

Selepas kejayaan lagu Satukan Rasa tahun lalu, peminat fanatik kedua penyanyi itu sentiasa menantikan mereka disatukan semula dalam lagu.

 

Namun, hantaran Khai di Instagram dengan memuat naik tangkap layar status penyanyi, Aina Abdul menjawab persoalan pasangan duet penyanyi lagu Durja itu.

 

Menurut Khai, dia dan Aina sudah lama merancang untuk berkolaborasi dan teruja untuk melancarkan lagu itu tidak lama lagi.

 

"Saya dan Aina pernah beberapa kali menyanyi bersama dalam program TV. Mungkin dari situ ramai suka dan membuat permintaan untuk kami menghasilkan lagu duet. Alhamdulillah, perancangan kami dipermudahkan dan kami terus menghasilkan lagu ini bersama-sama.

 

"Diakui selepas duet dengan Siti Nordiana juga, ada nak kami berduet semula dan ramai juga yang mencadangkan saya berkolaborasi dengan penyanyi lain pula. Apa pun, saya bertuah kerana diberi peluang untuk berduet dengan beberapa penyanyi hebat termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza.

 

"Setiap rakan duet saya mempunyai keistimewaan dan aura masing-masing. Saya melihat setiap tawaran yang datang adalah kesempatan terbaik untuk saya memajukan diri. Bagi saya bekerjasama dengan ramai orang membolehkan saya menimba pengalaman baru," katanya.

 

Khai berkata, single berentak balada itu dianggap hadiah buat peminat mereka yang sudah lama menunggu.

 

"Macam sebelum ini ramai tertanya-tanya siapa rakan duet terbaru saya. Insya Allah sedikit waktu lagi akan dilancarkan beserta video muzik. Lagu ini adalah hadiah buat semua yang sudah menunggu.

 

"Saya berharap lagu ini dapat diterima baik dan boleh pergi lebih jauh. Dalam masa sama, semoga duet saya dan Aina boleh membuatkan anda jatuh cinta dengan lagu ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 1:09 PM